Wanita gagal rayuan sabitan memandu secara cuai, melulu

Iklan
Kompleks Istana Kehakiman, Putrajaya.

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis menolak permohonan seorang penjawat awam untuk mengetepikan sabitan dan denda RM6,000 kerana memandu secara cuai serta melulu sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal wanita, 13 tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membuat keputusan itu selepas mendapati Mas Ayu Siti Asmah Hani Zainul Abidin gagal membuktikan bahawa rayuannya mempunyai sebarang merit.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, penemuan fakta oleh Mahkamah Majistret adalah berdasarkan bukti yang kukuh manakala keterangan saksi utama disokong oleh keterangan mengikut keadaan.

Justeru, katanya tiada sebarang kekhilafan di pihak majistret berhubung isu penemuan fakta.

Iklan

Bagaimanapun, Ahmad Zaidi yang mengekalkan denda terhadap Mas Ayu, mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi agar wanita itu membayar pampasan kepada ahli keluarga mangsa dan memerintahkan agar ia dipulangkan kepada penjawat awam berkenaan.

Beliau berkata, peruntukan di bawah Kanun Tatacara Jenayah yang membabitkan pampasan hanya berkuat kuasa pada 2012, dua tahun selepas insiden itu berlaku.

Iklan

Mas Ayu, 43, yang merupakan pembantu setiausaha utama di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, telah didakwa pada 2020.

Turut bersidang Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azman Abdullah dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin.

Pada 10 Januari 2023, Mahkamah Majistret Sepang menjatuhi hukuman penjara sembilan bulan dan denda RM6,000 ke atas Mas Ayu.

Penjawat awam itu juga diperintah membayar pampasan sebanyak RM3,500 kepada keluarga mangsa manakala lesen memandunya diendors dengan butiran kesalahan yang dilakukan.

Pada 7 Ogos 2023, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan Mas Ayu, namun mengetepikan hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret terhadapnya.

Mas Ayu disabitkan dengan kesalahan memandu secara cuai dan melulu sehingga menyebabkan kematian Fatima Zurwanti Zulkifli, 20.

Nahas itu berlaku di bulatan Jalan Persiaran Desa Pinggiran, Sepang, Selangor pada kira-kira 6.30 petang 14 Jun 2010.

Peguam R SN Rayer dan R Thandayuthabany Pillay mewakili Mas Ayu manakala Timbalan Pendakwa Raya How May Ling hadir bagi pihak pendakwaan. - Bernama