KUALA LUMPUR - Seramai 40 orang awam Palestin yang cedera akibat konflik di Gaza selamat berlepas dari Pangkalan Udara Al Maza, Mesir pada Khamis malam dengan dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan.
Duta Mesir ke Malaysia Ragai Nasr memberitahu Bernama bahawa dua pesawat dengan 40 warga Palestin yang cedera dan 80 saudara mereka berlepas dari Pangkalan Udara Al Maza di Kaherah menuju ke Kuala Lumpur.
"Semoga mereka selamat dalam perjalanan ke Malaysia," katanya.
Kedua-dua pesawat dan pesakit dijadualkan tiba di Malaysia pada pagi Jumaat.
Warga Palestin yang cedera dan kini sedang menerima rawatan di beberapa hospital di Mesir, mengalami pelbagai masalah kesihatan, termasuk kecederaan tulang dan melecur.
Terdahulu, Nasr berkata pesakit itu akan menerima rawatan di hospital-hospital yang ditetapkan oleh Malaysia.
Beliau berkata pemilihan 40 warga Palestin yang cedera untuk mendapatkan rawatan di Malaysia dibuat atas arahan Presiden Abdel Fattah el-Sisi selepas menerima permintaan daripada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Ini adalah usaha yang diselaraskan melibatkan pelbagai pihak yang bekerjasama untuk memenuhi permintaan Perdana Menteri Anwar,” katanya sambil memberi jaminan komitmen untuk meneruskan usaha mereka dengan kerjasama Malaysia.
Pada 4 Ogos lepas, Anwar mengumumkan bahawa Malaysia akan membantu merawat warga Palestin yang cedera dengan membawa mereka ke Malaysia.
Menurut Nasr, Mesir kini menempatkan lebih 70,000 warga Palestin di 40 hospital.
Beliau memberi jaminan bahawa Mesir akan terus memberi sokongan terhadap sebarang permintaan masa depan dari Malaysia.
"Kami akan meneruskan bantuan ini, apa sahaja yang diminta oleh Malaysia pada masa hadapan,” katanya.
Pihak berkuasa kesihatan tempatan pada Khamis mengesahkan bilangan kematian warga Palestin akibat serangan Israel sejak 7 Oktober lepas telah meningkat kepada 40,005 orang dengan tambahan 92,401 individu cedera, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA). - Bernama