TIADA istilah 'berbulan madu' buat kontinjen Malaysia, biarpun Sukan Olimpik 2024 di Paris baru sahaja menutup tirai hujung minggu lalu.
Berbekalkan semangat juang tinggi, usaha pemburuan pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) akan terus diperkasa menerusi kitaran kedua Program Road To Gold (RTG).
Meskipun garis masa masih panjang, namun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang diterajui Hannah Yeoh enggan berlengah, sebaliknya mahu terus mengorak langkah proaktif menyediakan para atlet berkualiti untuk menggalas cabaran negara di Amerika Syarikat (AS) empat tahun lagi.
Malah, kutipan dua pingat gangsa di Paris menjadi batu loncatan buat KBS untuk memantapkan lagi penyediaan atlet ke temasya sukan terbesar dunia itu.
Ia dapat dibuktikan menerusi peningkatan ketara prestasi beberapa atlet muda yang membuat penampilan pertama di Olimpik apabila mencatat rekod baharu kebangsaan.
Atlet angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan dipisahkan hanya satu kilogram (kg) menuju pingat gangsa dalam kategori 61kg untuk menduduki tempat keempat.
Namun badang berusia 22 tahun dari Segamat, Johor itu membaharui catatan rekod kebangsaan menerusi angkatan snatch 130kg berbanding 129kg yang dibuat oleh Muhamad Aznil Bidin.
"Selepas bertanding di Paris keyakinan saya meningkat dan tidak mustahil boleh mencapai keputusan lebih baik di LA jika saya terus berada dalam program RTG," katanya.
Penampilan kali pertama turut membawa tuah buat pelumba berbasikal trek, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri apabila mencatat 10.709 saat (s) untuk memadam rekod lama 10.903s dalam acara pecut wanita.
"Ini kenangan paling manis (rekod baharu) saya yang kali pertama beraksi di Olimpik,” ujar pelumba berusia 20 tahun dari Sungai Petani, Kedah itu.
Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang bagaikan mendapat 'nyawa kedua' dalam kariernya selepas menjalani pembedahan jantung terbuka pada 2022 turut melakar sensasi di Paris.
Beliau yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman mencipta rekod kebangsaan baharu 9.402s dalam acara pecut lelaki berbanding catatan sebelumnya 9.523s.
Di sebalik pencapaian hebat itu, pujian juga wajar diberikan kepada beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah apabila mencipta sejarah menjadi pasangan wanita pertama Malaysia mara ke separuh akhir Sukan Olimpik.
Gandingan negara itu mara ke kelompok empat terbaik selepas menyingkirkan pemenang pingat gangsa edisi lepas, Kim So-yeong dan Kong Hee-yong dari Korea Selatan.
Sebelum menjejakkan kaki ke Paris pasangan nombor 10 dunia itu bergelut dengan prestasi, namun RTG berjaya menjadi 'payung' untuk mendapatkan semula rentak sebenar mereka.
"RTG antara faktor kami mendapat semula apa yang ingin kami cari. Selepas Terbuka Perancis, kami hilang arah dan hilang corak permainan. Kami berusaha keras untuk dapatkan semula apa yang hilang.
"Kami gembira menemuinya di Paris, tapi kami kecewa tidak dapat bawa balik pingat buat negara. RTG banyak bantu perjalanan kami hingga ke Olimpik,” katanya.
Kontinjen negara menutup tirai temasya kali ke-33 itu menerusi dua pingat gangsa hasil sumbangan beregu lelaki, Aaron-Soh Woi Yik dan pemain perseorangan profesional, Lee Zii Jia.