TEMERLOH - Bekas pesakit kanser darah tahap tiga, Mohd Zaki Yamani Azman,35, atau turut dikenali sebagai Zaki Bijak nekad merentas Sungai Pahang sepanjang 475 kilometer (km) menerusi Ekspedisi Kayak Solo sejak 8 Ogos lalu.
Anak bongsu daripada lima beradik itu mula menghidap kanser pada 2014 dan bebas sepenuhnya sejak beberapa tahun lalu turut dikenali dengan beberapa misi sebelum ini antaranya Jelajah Borneo dengan RM1 dan Jelajah Semenanjung secara tumpang (hitch hiking)
Menurutnya, kayuhan solo itu bermula dari Ulu Tembeling, Jerantut dengan destinasi terakhir di Pekan.
"Ekspedisi ini sempena 10 tahun saya mula dikesan menghidap kanser serta kesedaran kepada orang ramai dan sahabat-sahabat kanser untuk terus berjuang, bukan untuk mati dan sesuai dengan tagline saya selama ini 'kanser bukan tiket untuk mati'.
"Dan kebetulan sempena sambutan bulan kemerdekan, saya berharap pesakit kanser bebas dan merdeka daripada penyakit ini dan syukur Alhamdulillah macam saya sudah lebih lima tahun bebas kanser walaupun diserang hingga tiga kali dalam tempoh 10 tahun," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.
Ujarnya, ekspedisi tersebut tidak dirancang secara khusus manakala persediaan rapi dibuat selama dua minggu untuk kecergasan stamina dengan aktiviti pendakian.
Jelas pemandu pelancong bebas itu, selama ini dia hanya ada pengalaman berkayuh jarak dekat iaitu dalam tempoh beberapa jam.
Dalam pada itu, anak jati Pahang kelahiran Bukit Rang, Pulau Tawar Jerantut itu bersyukur kerana sepanjang kayuhan dan persinggahan di beberapa lokasi mendapat sokongan kuat terutamanya penduduk kampung.
"Memang ada cabarannya dengan keadaan cuaca panas terik dan keadaan arus sungai, kalau air tenang memang kayuhan tanpa henti hingga tiga jam selain ada berdepan ribut di Jerantut Feri.
"Saya meletakkan misi ini tamat dalam tempoh dua minggu dan berharap ia berjalan lancar," katanya ekspedisi itu menggunakan wang sendiri kira-kira RM3,000 tanpa tajaan mana-mana pihak.
Sementara itu, seorang pemilik rumah rakit, Saipul Bahari Mustafa.49 kagum dengan semangat yang dipamerkan oleh Zaki.
"Saya mengetahui kayuhan solo ini menerusi media sosial dan apabila tahu dia sudah berada di sini dan kebetulan singgah ke rumah rakit ini, saya menawarkan penginapan untuk dia (Zaki).
"Saya bangga dengan semangat dia (Zaki) dan kalau macam saya sendiri tidak mampu lakukan kayuhan sebegini," tambahnya lagi.