SEREMBAN - Dilahirkan sebagai insan sempurna sifat, namun kemalangan yang menimpanya lebih 10 tahun lalu telah mengubah segalanya.
Kejadian 10 Januari 2011 itu menyebabkan Muhammad Azizi Abdul Manab, 35, kehilangan sebahagian kaki kirinya yang terpaksa dipotong.
Tragedi hitam berkenaan sememangnya sukar diterimanya, lebih-lebih lagi ia berlaku selepas sehari anak kelahiran Perak itu melangsungkan pertunangan.
Namun, dia bersyukur kerana tunangnya yang kini merupakan isterinya menerimanya sepenuh hati dan mereka kini bahagia bersama dua orang cahaya mata.
Menceritakan detik awal terpaksa menerima hakikat sebagai orang kurang upaya(OKU), Muhammad Azizi mengakui dia hampir berputus asa untuk meneruskan hidup.
"Saya ingatkan kaki saya hanya patah saja ketika kemalangan itu, tapi sebaik saja sampai di hospital, doktor beritahu kaki saya perlu dipotong.
"Terus terang cakap, waktu itu saya betul-betul hilang semangat nak hidup sehingga saya beritahu tunang yang kini isteri saya supaya dia cari orang lain kerana saya tak mampu lagi menjaganya," katanya ditemui selepas Majlis Pelancaran Kempen Bantuan Kaki Palsu 'Feet4Life' Peringkat Negeri Sembilan di sini pada Rabu.
Ujarnya, dia mengambil masa enam bulan untuk bangkit sebagai 'seorang yang baharu' selepas mendapat semangat daripada keluarga dan tunangnya.
Tambahnya, semangatnya sedikit demi sedikit kembali pulih selepas dia beranikan diri bekerja sebagai juruwang di sebuah stesen minyak.
"Waktu itu saya bergantung sepenuhnya dengan keluarga untuk pergi bekerja kerana pergerakan saya sangat terhad.
"Pada tahun 2012, saya dapat kaki palsu. Tapi, rasa rendah diri itu masih ada, sehinggalah saya tersedar ada inidvidu keadaannya lagi teruk daripada saya," katanya.
Dia yang telah pun berdamai dengan takdir kini bekerja sebagai pemandu e-hailing buat menyara keluarga.
Meskipun bergelar OKU, namun dia mahu membuktikan mampu mencari rezeki sendiri tanpa mengharapkan semata-mata ihsan pihak lain.
"Dulu saya banyak terpaksa minta bantuan orang lain, tapi sekarang walaupun berstatus OKU, saya pula bantu orang lain," katanya.