SEPANG – Hanya beralaskan sejadah dan berbantalkan beg, seramai 15 buruh binaan warga Bangladesh dipaksa tidur dalam keadaan berhimpit di sebuah apartmen tiga bilik di Cyberjaya.
Perkara itu terbongkar menerusi operasi bersepadu Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) bersama Majlis Perbandaran Sepang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini awal pagi Jumaat.
Ketua Pengarah JTKSM, Kamal Pardi berkata, pemeriksaan bermula jam 12 tengah malam itu memeriksa 30 lelaki Bangladesh yang tinggal di tiga kediaman berasingan di kawasan sama.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati pihak majikan gagal menyediakan kediaman yang kondusif walaupun ditempatkan di kawasan apartmen kos sederhana.
"Kami mendapat aduan daripada orang awam menyatakan terdapat sekumpulan warga asing mendiami unit kediaman dalam jumlah yang agak ramai.
"Pemeriksaan yang dijalankan mendapati ada kediaman didiami sembilan hingga 15 penghuni dalam satu masa,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi berkenaan pada Jumaat.
Selain rumah berada dalam keadaan kotor dan tidak terurus, ia turut mendatangkan masalah kepada penduduk setempat.
Ini kerana kehadiran warga asing yang ramai menimbulkan ketidakselesaan komuniti penduduk di situ.
Kamal Pardi berkata, majikan perlu menyediakan kediaman kondusif dan kemudahan asas yang mencukupi buat pekerja mengikut Akta Kerja 1955 [Akta 265].
Katanya, pemilik premis yang menyewakan kediaman mereka akan dipanggil untuk membantu siasatan.
Tambahnya, satu bilik sepatutnya dihuni dua atau tiga penghuni sahaja namun, di apartmen itu sehingga 15 orang dalam satu rumah.
"Perkara ini amat mendukacitakan kerana pihak majikan ingkar (Akta 265). Pekerja yang baru masuk perlu diberikan kebajikan mencukupi,” ujarnya.