KUANTAN - Tiga rumah hangus dalam kejadian kebakaran di Pinggiran Putra 4, Taman Kempadang Makmur di sini pada Khamis malam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, kebakaran melibatkan rumah teres itu dilaporkan pada jam 8.52 malam.
Menurutnya, salah sebuah rumah hampir musnah dengan peratusan kebakaran 80 peratus, manakala peratusan kebakaran rumah kedua dan ketiga kira-kira 40 peratus.
"Kebakaran itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa," katanya.
Ismail berkata, susulan panggilan kecemasan diterima, seramai 19 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan, Taman Tas dan Gebeng ke lokasi untuk operasi pemadaman.
"Pihak bomba menggunakan aliran hos dan hos salur bantu mula air tangki pam jentera bomba bagi memadam kebakaran itu.
"Anggota bomba dari BBP Taman Tas dan Gebeng membantu dengan dua aliran hos salur bantu mula air tangki pam jentera bomba dan jentera tangki air," katanya.
Jelasnya lagi, kerja-kerja penyejukan turut dilakukan bagi menghalang api dari merebak ke kediaman lain berhampiran.
"Api berjaya dikawal kira-kira jam 9.30 malam sebelum operasi ditamatkan.
"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.