LHDN 'serbu' syarikat besar, multinasional

Iklan
LHDN menggerakkan Operasi Pematuhan Khas 'Mega Corp' bagi memperkasakan aktiviti penguatkuasaan undang-undang percukaian bagi syarikat berkategori besar, industri khusus dan multinasional.

SHAH ALAM - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah menggerakkan Operasi Pematuhan Khas 'Mega Corp' bagi memperkasakan aktiviti penguatkuasaan undang-undang percukaian bagi syarikat berkategori besar, industri khusus dan multinasional.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), Datuk Hisham Rusli berkata, LHDN akan terus meningkatkan aktiviti pematuhan secara berterusan termasuk mengambil tindakan pendakwaan ke atas pembayar cukai yang gagal melaporkan pendapatan yang sepatutnya dan melanggar undang-undang percukaian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, operasi mega berkenaan berlangsung selama dua hari iaitu 14 dan 15 Ogos 2024 di sekitar Lembah Klang dengan kolaboratif antara Jabatan Pematuhan Cukai dengan tiga Cawangan Khas iaitu Cawangan Pembayar Cukai Besar, Cawangan Industri Khusus dan Cawangan Cukai Multinasional.

"Selaku Cawangan Khas yang bertanggungjawab memungut sebahagian besar kutipan cukai langsung negara, inisiatif telah diambil dengan menjalankan operasi pematuhan secara bersepadu.

Iklan

"Operasi ini juga menumpukan kepada isu perancangan cukai agresif, transaksi di antara syarikat berkaitan dan industri khusus,"katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, menerusi pelaksanaan operasi seumpama itu, pihaknya berharap risiko ketirisan pendapatan negara dapat dibendung sekali gus menyumbang kepada kutipan cukai yang sepatutnya demi menegakkan keadilan percukaian terutamanya kepada pembayar cukai yang patuh.

Iklan

"Semoga dengan pelaksanaan operasi ini, kadar pematuhan cukai khususnya dalam kalangan syarikat berskala besar dapat diperkasa seterusnya memastikan kredibiliti sesebuah syarikat kepada undang-undang percukaian terus dipelihara demi menjamin masa depan generasi akan datang," katanya.