PUTRAJAYA - Ketua jabatan yang menutup salah laku dan amalan rasuah dalam kalangan penjawat awam di bawah seliaannya akan dikenakan tatatertib serta menjejaskan peluang kenaikan pangkat.
Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, keputusan itu dibuat selepas kerajaan bersetuju untuk menambah baik aspek pengurusan prestasi tatakelola dan pengurusan tatatertib.
"Ada guru besar, ketua jabatan mahu jaga imej jabatan dan sekolah, budak (murid) didera separuh mati tidak dilapor kepada polis.
"Ada ketua jabatan tahu pegawai mempunyai kekayaan yang lebih, tidak dilaporkan.
"Maka kalau itu terbukti tidak dilaporkan, ketua jabatan tidak akan dinaikkan pangkat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-19, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Jumaat.
Menurutnya, Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dirangka bukanlah semata-mata hanya pembaharuan dan peningkatan dalam pendapatan boleh guna yang akan dinikmati oleh penjawat awam, namun ia adalah satu sistem saraan yang berteraskan prestasi.
"Siapa yang cemerlang, akan dapat ganjaran, siapa gagal mempamer prestasi yang baik, akan dikenakan tindakan," kata beliau.
Ujar Anwar, kerajaan tidak tidak boleh memberi layanan yang sama kepada semua terutama dalam aspek ganjaran dan pengiktirafan.
"Saya mahu mesejnya jelas supaya penjawat awam yang tidak menunjukkan prestasi kerja yang baik, culas, sering tidak hadir ke pejabat tanpa kelulusan ketua jabatan tidak akan diberikan ganjaran.
"Secara prinsipnya, kita mahu hanya yang benar-benar layak sahaja diberikan ganjaran seperti yang dijanjikan," katanya.
Dalam ucapannya Anwar berkata, pusingan kerja akan dilaksanakan membabitkan ketua jabatan bagi mengelakkan berlakunya kes salah laku dalam kalangan pegawai awam.
"Kita juga harus melihat tentang keperluan untuk memastikan perkhidmatan bagi yang terus kepada rakyat seperti keperluan doktor di hospital dan pegawai polis di lapangan perlu disesuaikan dengan beban tugas hakiki, bukan lagi dibebani dengan tugasan yang bersifat pentadbiran," katanya.
Jelas Anwar, ini kerana terdapat pembaziran kepakaran, kekurangan tenaga kerja berlaku di tempat yang sepatutnya.
"Kita perkasakan seperti contoh di hospital dan klinik yang memerlukan penambahan sumber.
"Saya mahu perkara ini diteliti sewajarnya oleh kementerian yang berkaitan dan melaksanakan penjajaran semula sumber kepada tempat yang betul-betul memerlukan," katanya.