Kolumnis Sinar Harian menang anugerah TVET

Iklan
Anugerah disampaikan Mustapha (dua dari kiri) kepada Muhidin (dua dari kanan) di Kuala Lumpur pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Kolumnis Sinar Harian, Dr Ir Muhidin Arifin telah memenangi Anugerah Personaliti Cemerlang di bawah kategori Pembangunan Kemahiran dan Bakat sempena ‘Malaysia Education & TVET Awards’ (META) di sini pada Khamis.

Anugerah disampaikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud kepada Muhidin di atas sumbangan Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) itu dalam pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Iklan
Iklan

Mengulas mengenai pengiktirafan yang diterimanya, Muhidin berkata, ia akan menjadi insipirasi kepada generasi akan datang untuk mengikuti pendidikan teknikal, memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat dan memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam ekonomi global.

Katanya, beliau akan terus memainkan peranan memberi kefahaman kepada masyarakat tentang maksud dan nilai sebenar TVET.

Iklan

"TVET bukan bidang pengajian, ia adalah pendekatan pedagogi berbeza yang berpusat pada pemerolehan kemahiran praktikal. Tidak seperti pendidikan akademik tradisional yang tertumpu terutamanya pada pengetahuan teori, TVET menekankan pembelajaran secara langsung, aplikasi dunia sebenar dan perkaitan industri.

"Maka pendekatan TVET pedagogi boleh diterapkan dalam semua bidang seperti kedoktoran, akaun, undang-undang, perniagaan, pemasaran, sains politik, dan lain-lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Muhidin

Iklan

Untuk rekod, Muhidin merupakan tokoh terkemuka dalam bidang TVET di Malaysia, yang sumbangannya menjangkau lebih sedekad.

Pengalaman dan kepakaran beliau yang luas telah memainkan peranan penting dalam membentuk landskap pembangunan kemahiran dan bakat di negara ini terutama di Selangor.

Antaranya memastikan tenaga kerja dilengkapi dengan kecekapan yang diperlukan untuk berkembang maju dalam pasaran pekerjaan yang berkembang pesat terutama dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan Kecerdasan Buatan (AI).

Usaha beliau bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan kurikulum dan jaminan kualiti tetapi juga untuk memupuk perkongsian antara institusi pendidikan dan industri dalam dan luar negara untuk memastikan program latihan selari dengan permintaan pasaran.

Sepanjang kerjayanya, Muhidin telah mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai inisiatif kebangsaan dan antarabangsa yang bertujuan untuk menyokong TVET.

Di antara projek-projek hasil cetusan idea dan usaha Muhidin melibatkan Taman Sains Selangor, Pusat Teknologi Inkubasi, Open University, Taman Teknologi Malaysia, Malaysian Exchange of Securities Dealing and Automated Quotation (MESDAQ) dan STDC.

META ialah majlis anugerah kali ketiga pada tahun 2024 yang bertujuan untuk memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada personaliti dan entiti pendidikan dan perniagaan di Malaysia yang telah cemerlang dalam menyediakan terbaik dalam sektor pendidikan format, termasuk penyedia perkhidmatan TVET di negara ini.