Lelaki warga Bangladesh ditahan guna lesen terbang sejak 2022

Iklan
Kenderaan jenis Kia Optima digunakan seorang lelaki warga Bangladesh yang didapati memiliki lesen terbang sejak 2022.

KLANG - Tindakan seorang lelaki warga Bangladesh menggunakan lesen 'terbang' sejak 2022 terbongkar ketika hadir bagi membantu adiknya yang ditahan kerana tidak memiliki lesen memandu, dekat Jalan Pandaraman, Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, pihaknya sebelum itu menahan sebuah lori ais yang dipandu seorang lelaki warga asing menerusi rondaan penguatkuasaan kenderaan perdagangan di lokasi berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, siasatan mendapati warga asing itu menggantikan abangnya pada hari tersebut untuk membawa lori berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati pemandu lori berumur 24 tahun itu turut tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah selain tiada lesen memandu.

Anggota JPJ sebelum itu menahan sebuah lori ais yang dipandu seorang lelaki Bangladesh.

Iklan

"Lori berkenaan kemudiannya disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 selain tindakan saman turut dikeluarkan atas kesalahan terbabit," katanya pada Jumaat.

Katanya, seorang lelaki yang mendakwa sebagai abang kepada pemandu berkenaan hadir ketika proses dokumentasi sita dijalankan dengan memandu sebuah kenderaan jenis Kia Optima.

Iklan

"Pemeriksaan kemudiannya dijalankan terhadap individu berumur 27 tahun itu mendapati lesen yang dimiliki adalah palsu.

"Siasatan lanjut mendapati lesen berkenaan dibeli menerusi media sosial sekitar tahun 2022 dengan harga RM2,500," katanya.

Menurut Azrin, siasatan lanjut berkaitan perkara berkenaan sedang dijalankan.

"Kenderaan dibawa individu terbabit kemudiannya disita untuk tindakan selanjutnya," katanya.