SHAH ALAM - Ketika penjawat awam menikmati kenaikan gaji menjelang Disember ini, Perdana Menteri, Datuk Sri Anwar Ibrahim masih berkhidmat tanpa menerima sebarang gaji.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming malah berkata, gaji anggota jemaah menteri juga kekal dipotong 20 peratus seperti sebelum ini.
"Ini adalah satu lagi bukti Kerajaan Madani komited untuk memimpin melalui teladan.
Sebelum ini Anwar mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam dinaikkan kepada 15 peratus manakala pengurusan tertinggi dinaikkan pada kadar tujuh peratus.
Pelaksanaan pelarasan gaji itu dilakukan menerusi dua fasa bermula 1 Disember depan dan 1 Januari 2026.
Dalam pada itu Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan itu turut memuji tindakan kerajaan dalam melaksanakan reformasi sistem penjawat awam.
Menurutnya, ganjaran hanya akan diberikan kepada penjawat awam yang layak dan berprestasi dalam menjalankan tugas.
Beliau turut mengingatkan pegawai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang tidak menunjukkan prestasi KPI MyPerformance memuaskan, akan terlepas daripada kenaikan pangkat.
"Ia termasuk ketua-ketua jabatan yang gagal melaporkan salah laku anak buahnya.
"Ini merupakan bukti kerajaan berusaha untuk mempertingkatkan prestasi perkhidmatan penjawat awam, dengan fokus utama memastikan rakyat menerima perkhidmatan berkualiti dan terbaik,” ujarnya.