KKDW bakal laksana reformasi budaya kerja lebih agresif

Iklan
Perdana Menteri bergambar bersama penjawat awam pada majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-19 (MAPPA XIX) yang diadakan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat.

SHAH ALAM - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan memperkemas serta memperkukuh tatakelola dalam sistem pengurusan dan pentadbiran kementerian itu bagi memastikan reformasi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dapat dilaksanakan.

Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan, warga kerja KKDW akan terus meningkatkan produktiviti dan kecekapan untuk mencapai tahap prestasi lebih tinggi seiring semangat Reformasi Perkhidmatan Awam bagi menjayakan agenda Malaysia Madani.

Iklan
Iklan

"Selain memastikan reformasi dapat dilaksanakan dengan lebih agresif, SSPA dengan penyelarasan gaji yang lebih baik juga akan membantu mengurangkan risiko rasuah, ketirisan dan pembaziran yang sering menjadi cabaran dalam sektor awam.

"Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang digantikan dengan SSPA bukan sahaja memberi suntikan semangat baharu kepada warga kerja, malah menjadi inspirasi untuk lebih berdaya saing serta beriltizam membawa perubahan kepada pembangunan negara," menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Iklan

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju SSM digantikan dengan SSPA berkuat kuasa 1 Disember ini sebagai tanda keprihatinan kerajaan kepada penjawat awam.

Dalam pada itu KKDW turut mengingatkan warga kementerian itu untuk tidak memandang ringan isu nilai serta integriti yang menjadi tonggak perkhidmatan awam.

Iklan

"Sebagai sebuah kementerian yang memegang amanah untuk memajukan pembangunan dan kelestarian desa, warga kerja KKDW berikrar untuk memastikan setiap reformasi yang dirancang dapat dilaksana dengan lebih berkesan dan menyeluruh seiring misi 'Luar Bandar Sejahtera'.

"Seluruh warga kerja KKDW merakamkan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau terhadap kebajikan penjawat awam dan juga Jabatan Perkhidmatan Awam dalam merealisasikan penghasilan SSPA," katanya.