Kesedar terkilan, tersentuh tuduhan dilempar semasa kempen

Iklan
Wan Muhd Rahimi

GUA MUSANG - Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) menafikan agensi itu tidak cakna dan amanah dalam menjalankan peranannya seperti yang termaktub di dalam Akta Penubuhan Organisasi.

Pengurus Besarnya, Wan Muhd Rahimi Wan Salleh berkata, tuduhan yang dilemparkan oleh pihak tidak bertanggungjawab semasa proses berkempen bertujuan memburuk-burukkan imej agensi kerajaan itu.

Iklan
Iklan

"Antara fitnah disebarkan ialah Kesedar telah membina ibu pejabatnya di atas tanah yang dimiliki oleh Pesuruhjaya Tanah Kelantan.

"Kesedar turut dituduh tidak melaksanakan tanggungjawabnya untuk menyerahkan tanah ladang kepada peneroka sebagaimana yang telah dijanjikan walaupun telah diluluskan oleh kerajaan negeri dan tanah penempatan serta ladang Projek Agropolitan Kelantan Selatan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Wan Muhd Rahimi menjelaskan, tanah Ibu Pejabat Kesedar sudah dimiliki agensi itu sejak 2019 selepas lebih 25 tahun mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri.

Katanya, pada masa sama, Kesedar juga telah diberi milik tanah penempatan Projek Agropolitan, Rantau Manis sejak 2014.

Iklan

"Kerja-kerja memproses pecah sempadan kawasan penempatan sudah dilakukan sejak tiga tahun lalu sebelum diluluskan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan pada 12 Ogos lalu.

"Kesedar dijangka memerlukan sehingga 10 bulan lagi sebelum geran individu dikeluarkan oleh pihak berkuasa negeri," katanya.

Tambah beliau, untuk ladang-ladang peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT), Kesedar telah mengemukakan proses selanjutnya kepada kerajaan negeri sebagai pematuhan kepada peraturan yang ditetapkan untuk penukaran nama kepada peneroka.

"Proses ini dibuat secara berterusan dan dijangka agihan geran ladang akan dimulakan pada penghujung 2025 dengan harapan tiada sebarang kelewatan kelulusan berikutnya daripada kerajaan Kelantan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kesedar menyeru agar semua pihak merujuk kepada agensi itu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Tuduhan yang dilemparkan membuatkan warga Kesedar terkilan dan tersentuh, baik yang sedang berkhidmat atau buat yang telah mencurahkan bakti kepada agensi itu selama ini.

"Kesedar akan terus berusaha melaksanakan tanggungjawabnya sebagai agensi pembangunan utama wilayah Kelantan Selatan dan memastikan nasib seluruh kumpulan sasar dibela dalam mewujudkan kesejahteraan dalam pelbagai aspek kehidupan serta pada masa yang sama mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.