Penguat kuasa KPDN cedera bergelut ketika Op Tiris

Iklan
Armizan melihat kecederaan yang dialami oleh pegawai KPDN Negeri Sembilan, Amirul Al Fadzli semasa membuat serbuan di sebuah premis di Lukut pada Jumaat. Foto Bernama

PORT DICKSON - Seorang anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cedera selepas bergelut dengan dua suspek kes aktiviti ketirisan subsidi gas petroleum cecair (LPG) ketika serbuan Op Tiris 3.0 di Lukut di sini pada Jumaat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kedua-dua suspek dipercayai lelaki tempatan yang bekerja di premis itu bagaimanapun, meloloskan diri dalam operasi yang dijalankan pada awal pagi tadi.

Iklan
Iklan

"Hasil pemeriksaan terhadap premis, penguat kuasa menemukan 186 unit tong gas pelbagai jenama berkapasiti 14 kilogram (kg) dan 50 kg, alat timbang elektronik, paip getah penyambung yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penjualan kepada pihak tertentu dengan nilai rampasan melebihi RM30,000.

"Kita akan lihat aspek-aspek lain untuk mengetahui pemilik sebenar premis ini dan akan berusaha memastikan kita bukan hanya menyita barang-barang, tetapi juga dapat membuat pendakwaan kepada mereka yang terlibat," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi itu.

Iklan

Beliau turut melihat kecederaan kecil yang dialami anggota berkenaan termasuk pada bahagian leher ketika berada di premis tanpa nama itu.

Armizan berkata, semakan mendapati premis terbabit tidak mempunyai dokumen sah untuk menjalankan urus niaga berkaitan barang kawalan dan siasatan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Armizan meninjau rampasan unit tong LPG yang diselewengkan dan disimpan dalam stor penyimpanan haram di sebuah premis tanpa nama di Lukut pada Jumaat. Foto Bernama

Iklan

Beliau berkata, syarikat itu juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Dalam pada itu, Armizan berkata, KPDN merekodkan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM74.85 juta di bawah Op Tiris 3.0 melibatkan 1,900 kes bermula 1 Januari lepas hingga hari ini menerusi 27,971 pemeriksaan di seluruh negara.

"Sebanyak 469 individu telah ditahan dalam tempoh itu. Daripada jumlah kes terbabit, sebanyak 127 daripadanya melibatkan LPG di seluruh negara dengan nilai rampasan RM748,549.40," katanya. - Bernama