Rezeki suri rumah hasilkan tanjak merdeka

Iklan
Siti Zabidah menunjukkan koleksi tanjak yang dihasilkannya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Anak Musang, Bukit Jeruk, Besut.

BESUT - Seorang suri rumah memanfaatkan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 dengan menonjolkan kreativitinya dengan menghasilkan kelengkapan persalinan yang akan digayakan sempena ulang tahun kemerdekaan negara itu.

Siti Zabidah Mohd Nawi, 34, dari Kampung Anak Musang, Bukit Jeruk, Besut di sini menghasilkan tanjak atau tengkolok bertemakan Jalur Gemilang melalui jualan secara dalam talian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, inisiatif yang diambil itu memberikan pulangan lumayan apabila mampu meraih pendapatan kira-kira RM300 sehari.

"Permintaan terhadap tanjak merdeka amat tinggi lebih-lebih lagi melalui jualan secara dalam talian.

Iklan

"Tahun ini saya mula jual lebih awal berbanding tahun lalu di mana saya telah bermula sejak Mei lepas, selepas mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan," katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, dia mula menjual tanjak merdeka sejak Jun 2023 dengan merekodkan jualan mencecah 777 unit.

Iklan

Jelasnya, setakat ini dia mampu menghasilkan kira-kira 30 hingga 40 unit tanjak setiap hari.

"Tanjak ini dihasilkan secara boleh dilaras mengikut kesesuaian pemakai bermula usia tiga hingga 12 tahun,"ujarnya.

Siti Zabidah berkata, dia belajar menghasilkan tanjak itu daripada internet dan mengubah suai agar ia lebih mudah, senang serta cepat disiapkan.

"Biasanya tanjak ini digunakan untuk digayakan pada sempena Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan atau sambutan Hari Malaysia.

"Dari segi harga pula ia dijual pada harga RM22 untuk satu unit manakala bagi pembelian borong 20 unit ke atas pula harganya RM17 seunit," katanya.

Jelas Siti Zabidah, usaha menjual tanjak merdeka itu turut mendapat sokongan daripada ahli keluarganya.

"Biasanya, suami serta anak-anak akan turut membantu membungkus tanjak yang sudah siap sebelum dipos kepada pelanggan," katanya.