PELUMBA berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom mengakui sokongan padu program Road To Gold (RTG) menjadi nadi penting bagi meningkatkan prestasinya dalam perjalanan menuju ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Atlet berusia 28 tahun itu mendedahkan menerusi bantuan RTG dia berpeluang memiliki kasut baharu bagi menggantikan kasut lama yang hampir 'lunyai' setelah digunakan selama tujuh tahun sejak 2017.
Ia susulan kekangan kewangan dan menerusi bantuan RTG barulah dia dapat merasa kasut khas untuk acara berbasikal trek ditempah khas dari United Kingdom bernilai RM8,000.
"Jika tidak kerana RTG, kasut saya pakai tak pernah tukar sejak 2017... sampai patahlah.
"Kasut saya pakai ini diperoleh tahun ini. Bukan senang nak dapat dan jersi juga bukan senang dapat,” katanya.
Kasut itu amat penting buat Shah Firdaus kerana membantunya membuat kayuhan terbaik sehingga mara ke pentas akhir acara keirin di Paris minggu lalu.
Pelumba yang berasal dari Johor itu turut mendedahkan sebelum RTG diwujudkan pada tahun lalu, mereka terpaksa memilih kejohanan untuk disertai kerana kekurangan kewangan.
"Sebelum ada RTG kami berdepan banyak masalah dengan elaun yang kena potong. Orang luar tidak tahu kerana pada satu ketika kami terpaksa memilih kejohanan yang boleh disertai disebabkan kekangan bajet.
"RTG baru dibentuk setahun lebih, jadi apa yang kita boleh jangkakan. Dalam tempoh tersebut kita boleh menyertai perlumbaan dan beli peralatan,” ujar Shah Firdaus.