Pengundi DUN Nenggiri pilih wakil rakyat baharu hari ini

Iklan
Petugas SPR melakukan persiapan bagi saluran undi untuk hari pengundian bagi PRK DUN N.43 Nenggiri di Sekolah Kebangsaan Pulat. Foto Bernama

GUA MUSANG - Seramai 20,216 pengundi akan menunaikan tangggungjawab masing-masing hari ini bagi memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Tepat 8 pagi ini, sebanyak 20 pusat mengundi dengan 46 saluran dibuka untuk proses pengundian dan ditutup secara berperingkat antara 2 dan 6 petang.

Iklan
Iklan

Empat pusat mengundi akan ditutup pada 2 petang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob, SK Sri Permai dan SK Kuala Sungai, manakala SK Pulat dan Dewan Orang Ramai Pos Simpor ditutup pada 3 petang.

Pada 5 Ogos lepas, 43 kertas undi pos telah dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada pengundi yang berhak di Nenggiri termasuk kepada 14 anggota polis.

Iklan

Kedua-dua calon akan mengundi di pusat mengundi yang sama iaitu Tabika Sri Bakawali, Bertam Lama.

PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas setelah bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Iklan

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ke-15 Ogos tahun lepas, Mohd Azizi menewaskan calon BN Ab Aziz Yussof dengan majoriti 810 undi.

Ini ialah PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor) dan PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang). - Bernama