ALOR SETAR - Malaysia harus menjadikan insiden rusuhan di United Kingdom (UK) sebagai peringatan agar keamanan negara tidak digugat oleh penyalahgunaan media sosial.
Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, ini kerana hanya disebabkan mainan persepsi di media sosial yang tidak terkawal mencetuskan rusuhan berterusan seterusnya melumpuhkan Great Britain.
Menurutnya, langkah negara untuk mengawal penggunaan media sosial atau membangunkan aplikasi media sosial sendiri amat bertepatan disebabkan dunia berdepan ledakan komunikasi dan teknologi tanpa sempadan.
"Negara seharusnya kawal media sosial bagi mengelak tercetus konflik awam secara terbuka khususnya disalah guna pihak tertentu yang mahu raih laba politik,” katanya pada Jumaat.
Ahmad Zaharuddin Sani berkata, namun antara cabaran terbesar ialah untuk mencari keseimbangan antara melindungi kebebasan bersuara dan mencegah penyebaran kandungan berbahaya.
"Ia perlukan pendekatan komprehensif termasuk konteks budaya dan politik negara yang unik.
"Antaranya, peraturan hendaklah seimbang dengan membangunkan rangka kerja undang-undang yang melindungi kita daripada kandungan berbahaya dan melindungi kebebasan bersuara.
"Pada masa sama, celik digital harus dipertingkatkan dengan mendidik orang ramai tentang pemikiran kritis, semakan fakta dan tingkah laku dalam talian,” jelasnya.
Menurutnya, aspek teknologi dipertingkatkan dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan dan membezakan kandungan yang berpotensi berbahaya.
"Kita juga harus bekerjasama merentasi sempadan untuk berkongsi amalan terbaik dan membangunkan piawaian bersama untuk penyederhanaan kandungan.
"Paling penting, syarikat media sosial harus bertanggungjawab terhadap kandungan platform mereka tanpa menyekat inovasi.
"Pengurusan media sosial yang berkesan juga harus disesuaikan dengan konteks budaya dan sosial negara ini,” ujarnya.
Ahmad Zaharuddin Sani jelaskan, merangka undang-undang berkesan dalam mengimbangi keperluan keselamatan awam dengan melindungi kebebasan bersuara adalah cabaran besar.
"Jika peraturan terlalu ketat akan dikritik, berlaku penapisan atau menyekat wacana politik secara sah.
"Namun ingatlah kuasa media sosial dalam membentuk suara awam turut mempengaruhi tindakan, seperti di UK. Malaysia juga berdepan implikasi susulan negara dihuni masyarakat berbilang kaum,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan Malaysia terhadap kawalan media sosial berakar umbi dalam lanskap sosial dan politiknya yang unik.
"Masyarakat berbilang etnik dan agama lebih terdedah kepada kesan perpecahan akibat daripada ucapan berbaur kebencian atau maklumat salah dalam talian.
"Kandungan media sosial tersebut boleh cetuskan ketegangan menerusi ucapan menghasut yang boleh merebak menjadi konflik besar dan berpotensi jejaskan perpaduan negara,” katanya.
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu berkata, maklumat salah berkaitan isu politik atau proses pilihan raya juga menggugat kestabilan politik dan menjejaskan kepercayaan terhadap institusi demokrasi.
"Ia turut membahayakan ekonomi kerana mencetuskan panik dan ketidakstabilan ekonomi.
"Akhirnya ia mengancam keselamatan awam menerusi khabar angin dalam talian yang kadangkala membawa kepada keganasan atau pergolakan,” jelasnya.
Jelasnya, walaupun pendekatan Malaysia berkesan mengekalkan kestabilan sosial, ia dikritik penyokong kebebasan bersuara yang menyifatkan kawalan terhadap media sosial menyekat wacana politik dan perbezaan pendapat.
"Didakwa digunakan sebagai alat penindasan politik, menghalang inovasi dan pertukaran idea secara bebas selain penapisan diri.
"Untuk terus mara dalam era digital, kita harus sediakan ruang dalam talian yang memupuk dialog sihat, menggalakkan perpaduan sosial dan menyumbang secara positif kepada proses demokrasi.
"Ia perlukan keseimbangan antara kebebasan bersuara dan mencegah penyebaran kandungan berbahaya yang boleh cetuskan pemikiran negatif masyarakat,” katanya.
Tegasnya, pendekatan harus menggabungkan dasar platform yang bertanggungjawab, pengawasan kerajaan serta pendidikan awam dalam memanfaatkan media sosial agar dapat mengurangkan risikonya.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Langkah itu akan dikuat kuasa bermula 1 Januari 2025, susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet.