CAAM kaji semula peraturan berkaitan pesawat pendaftaran asing

Iklan
Sebuah jet Beechcraft Model 390 dalam perjalanan ke lapangan terbang Subang terhempas berhampiran Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos tahun lalu.

SHAH ALAM - Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah memulakan semakan menyeluruh terhadap Peraturan 147 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 berkaitan pengendalian pesawat berdaftar asing dalam penerbangan am.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, semakan itu selaras dengan saranan keselamatan yang disediakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).

Iklan
Iklan

Menurutnya, cadangan peraturan baharu itu dijangka diterbitkan menjelang penghujung 2024.

"Kajian semula ini bertujuan untuk memperkasakan CAAM dalam meningkatkan keupayaan pemantauan berkaitan pesawat berpendaftaran asing yang beroperasi di Malaysia serta memastikan semua aktiviti penerbangan di negara ini mematuhi piawaian keselamatan tertinggi," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Menurut Norazman, peraturan baharu yang dicadangkan itu mencerminkan dedikasi CAAM terhadap penambahbaikan berterusan amalan keselamatan penerbangan.

Susulan kemalangan Elmina pada 17 Ogos 2023, beliau menjelaskan, CAAM telah meningkatkan pengawasan bagi pemeriksaan tanjakan terutama di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang yang mana terdapat banyak aktiviti penerbangan am.

Iklan

"Langkah ini menunjukkan komitmen berterusan CAAM untuk memastikan keselamatan dan pematuhan peraturan dalam semua operasi penerbangan.

"CAAM teguh dalam memastikan standard keselamatan serta kecekapan diletakkan pada tahap tertinggi dalam sektor penerbangan Malaysia," ujarnya.

Dalam masa sama, pihaknya turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak berkepentingan atas sokongan serta kerjasama berterusan semasa pelaksanaan usaha penambahbaikan berkenaan.

Sebagai rekod, sebuah jet Beechcraft Model 390 dalam perjalanan ke lapangan terbang Subang terhempas berhampiran Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos tahun lalu dan mengorbankan 10 individu.