GUA MUSANG - Seorang pesakit buah pinggang kronik tahap lima terpaksa dibawa menggunakan katil hospital ke pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Tekoh bagi melunaskan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini pada Sabtu.
Pesakit terbabit, Aziz Mat Isa, 63, tiba di pusat berkenaan pada jam 9 pagi dengan bantuan daripada ambulans badan bukan kerajaan (NGO) Kota Raja Care.
Anak lelaki Aziz yang berusia 29 tahun berkata, bapanya sendiri bersemangat untuk mengundi dan meminta supaya dibawa ke pusat mengundi tersebut walaupun dalam keadaan terlantar.
"Bapa saya menghidap sakit buah pinggang sekian lama dan terlantar sejak lapan bulan lalu.
"Dia memang tidak pernah terlepas mengundi setiap kali pilihan raya umum atau PRK, tetapi ini kali pertama mengundi sambil terlantar di atas katil hospital kerana sudah tidak dapat bangun atau berjalan,” katanya ketika ditemui selepas membantu bapanya mengundi di sekolah berkenaan.
Aziz yang selesai mengundi dengan calitan dakwat ungu di jari telunjuk kiri itu kemudian dibantu dihantar pulang ke rumah tidak jauh dari pusat tersebut menggunakan ambulans sama.
Sementara itu, Pegawai Pengurus Ambulans Kota Raja Care, Mohd Hambali Azraee berkata, pihaknya membantu memudahkan urusan pesakit kronik di kawasan Nenggiri bagi menunaikan tanggungjawab memilih pada PRK terbabit.
"Aziz pesakit pertama yang dibantu dan masih ada empat lagi pesakit kronik yang lain akan diberikan pertolongan oleh empat sukarelawan kami untuk membawa mereka ke pusat mengundi.
"Khidmat yang diberikan ini adalah percuma dan sudah beberapa kali dilakukan bagi membantu pemilih di pusat mengundi,” katanya.
Di pusat mengundi berkenaan terdapat sejumlah 3,968 pemilih berdaftar melibatkan 2,209 warga emas di empat saluran mengundi.
Rata-rata warga emas tersebut kebanyakan datang untuk mengundi menggunakan kerusi roda.
PRK Nenggiri menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Barisan Nasional diwakili Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, Mohd Rizwadi Ismail daripada Pas.
Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini!.