SHAH ALAM - Polis merakam keterangan lapan individu susulan kes melibatkan kematian penyanyi, Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23, yang mayatnya ditemukan di Sungai Klang, Khamis lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, proses itu merupakan sebahagian daripada aspek siasatan berkaitan kes berkenaan.
"Seramai lapan individu telah direkodkan keterangan dan siasatan lanjut masih berjalan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Dalam pada itu, Hussein berkata, beliau mengadakan tinjauan di sekitar lokasi arwah dilaporkan kali terakhir berada iaitu sekitar Jambatan Kota dekat Sungai Klang pada Jumaat.
"Lawatan saya ke lokasi berkenaan menjurus kepada beberapa perkara yang perlu disiasat melibatkan sebarang unsur jenayah berlaku, masalah peribadi serta mental.
"Kita akan siasat sama ada arwah ada mengalami masalah dari segi keadaan mentalnya, atau dia ada gangguan serta pernah dapatkan sebarang rawatan mental sebelum ini," katanya.
Dalam pada itu, Hussein berkata, setakat ini pihaknya mengesan satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekitar bangunan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang memaparkan kelibat arwah.
"Menerusi semakan CCTV itu, ada memaparkan arwah sedang berjalan dan rakaman menunjukkan dia sedang berjalan berseorangan menuju ke arah jambatan.
"Bagaimanapun, rakaman itu setakat itu sahaja dan tidak nampak sehingga ke lokasi terakhir yang arwah dikatakan berada, jadi ia tidak melihatkan apa yang berlaku kepada arwah," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan siasatan kes kematian Nidza Afham diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).
Ia didapati susulan bedah siasat telah dijalankan bermula kira-kira jam 11 pagi hingga 3 petang di Hospital Shah Alam pada Khamis.
Hasil bedah siasat dijalankan mendapati punca kematian 'pending laboratory investigation' dan tiada lain-lain kecederaan fizikal.
Sebelum ini, penyanyi terbabit dilapor hilang selepas keluar joging di Stadium Klang, kira-kira jam 11.53 malam pada Selasa.
Susulan itu, dompet dan telefon bimbit Nidza Afham ditemui di Jambatan Sungai Klang, Klang.
Jasad Nidza Afham kemudiannya ditemukan berhampiran Jalan Tepi Sungai, Solok Sungai, Taman Telok Pulai Indah, jam 7 malam Rabu.
Nidza Afham pernah menyertai rancangan realiti I Can See Your Voice 3, sebelum melancarkan single berjudul Ternyata Bukan Aku.