Wang dikebas: Jangan panik, terus lapor kepada polis dan bank

Iklan
Sarina menunjukkan laporan polis yang dibuatnya selepas menyedari wang simpanannya berjumlah RM3,373 dikebas menerusi sebuah laman web jual beli barang terpakai tempatan terkenal.

SHAH ALAM - Seorang wanita menarik nafas lega apabila wang simpanannya berjumlah RM3,373 dikebas menerusi sebuah laman web jual beli barang terpakai tempatan terkenal akhirnya diperoleh semula baru-baru ini.

Sarina Mohd Som, 46, berkata, tindakan segera yang diambilnya selepas menyedari kehilangan wang berkenaan adalah dengan terus melaporkan kepada pihak polis serta bank.

Iklan
Iklan

"Saya akui masa awal tahu wang saya lesap memang rasa sangat-sangat tertekan, sebab kejadian itu merupakan kali pertama berlaku kepada saya.

"Saya cuba tenangkan diri dahulu, saya kumpul segala maklumat yang ada dan terus pergi buat laporan dekat balai polis serta menghubungi pihak bank menerusi nombor yang terdapat pada belang kad ATM," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, dia bersyukur kerana pihak bank mengambil tindakan yang sangat pantas sebaik sahaja saya melaporkan berkaitan kejadian.

"Segala transaksi menerusi akaun saya mereka hentikan seketika selain turut menukar kad bank saya kepada kad yang baharu.

Iklan

Dalam pada itu, Sarina berkata, kejadian itu membuatkan dia lebih berhati-hati dalam melaksanakan urusan pembelian secara dalam talian selepas ini.

"Bagi saya amat penting untuk kita lakukan semakan berkali-kali, jangan terlalu gopoh menekan mana-mana pautan yang mencurigakan.

"Selain itu, sekiranya menjadi mangsa penipuan secara dalam talian ini, terus laporkan kepada pihak polis bagi memastikan tindakan susulan dapat diambil," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan wang simpanan berjumlah RM3,373 dalam akaun bank seorang wanita lesap selepas dikebas pembeli menerusi sebuah laman web jual beli barang terpakai tempatan terkenal.

Kejadian didakwa berlaku ketika mangsa menekan satu pautan menerusi e-mel yang kononnya dihantar oleh laman sesawang terbabit.