PM sangkal dakwaan kerajaan tidak bertindak tingkat ekonomi

Iklan
Anwar (dua dari kanan) pada Program Madani Rakyat Zon Selatan 2024 di Dataran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada Sabtu.

JOHOR BAHRU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal pandangan negatif dan hasutan berterusan sesetangah pihak terhadap Kerajaan Perpaduan yang didakwa tidak melakukan sebarang tindakan bagi meningkatkan ekonomi negara.

Menurutnya, pencapaian ekonomi Malaysia yang positif pada suku kedua tahun ini berkembang 5.9 peratus membuktikan agenda disusun Kerajaan Perpaduan menerusi kerangka agenda ekonomi Madani berhasil.

Iklan
Iklan

"Jika tidak ada pengumuman (menerusi Program Madani) rakyat tak tahu apa perkara positif negara capai. Maka timbullah pandangan-pandangan negatif dan hasutan, seolah-olah tidak ada apa yang dilakukan kerajaan.

"Kita lihat kejayaan ini (perkembangan ekonomi negara) hasil kerjasama semua pihak membabitkan kerajaan swasta, penjawat awam, rakyat, pekerja, petani pekebun kecil sehinggalah nelayan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menutup Program Madani Rakyat Zon Selatan 2024 di Dataran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dekat sini pada Sabtu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keadaan ekonomi yang bertambah baik menyebabkan keyakinan pelabur meningkat.

Iklan

"Semuanya ini menyebabkan keyakinan pelabur dengan ringgit antara mata wang yang peningkatannya terkuat di rantau kita. Alhamdulillah," katanya.

Semalam, ekonomi Malaysia pada suku kedua 2024 dilaporkan berkembang sebanyak 5.9 peratus, mengatasi unjuran awal 5.8 peratus yang diumumkan bulan lalu dan pertumbuhan yang tertinggi sejak suku keempat 2024.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dilaporkan berkata, pertumbuhan itu dipacu oleh peningkatan ketara perbelanjaan isi rumah dan pasaran kerja yang kukuh serta sokongan dasar yang lebih meluas.