ACARA sukan pemotoran lasak berkuasa tinggi, Rimba Raid akan mengubah haluan ke Lenggong, Perak selepas lapan tahun diadakan di Kuala Tahan, Pahang sebelum ini.
Rimba Raid Lenggong 2024 dijadual diadakan pada 24 hingga 29 September depan menyaksikan lebih 200 peserta dari 17 negara yang sudah mengesahkan penyertaan.
Pengasas dan Pengarah Urusan Rimba Raid, Datuk Nik Huzlan Nik Hussain berkata, penganjuran kali ini akan tampil dengan kelainan melibatkan trek baharu menggunakan laluan balak yang ditinggalkan sejak 20 tahun lalu.
Menurutnya, perlumbaan tersebut dilakukan dengan peraturan ketat tanpa menjejaskan alam sekitar dan tidak melibatkan kerosakan hutan.
"Berdasarkan pengalaman bila saya buat di Kuala Tahan, tiga bulan kemudian kita dah tak jumpa jalan tu. Lalang dan apa semua akan hidup balik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Prapelancaran Rimba Raid Lenggong 2024 di sebuah restoran di sini pada Sabtu.
Hadir menyempurnakan majlis itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Nik Huzlan berkata, perlumbaan berstatus dunia yang peka terhadap alam sekitar itu secara tidak langsung akan mempromosikan kawasan ekopelancongan Lenggong.
Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, pihaknya bersama-sama kerajaan negeri Perak menerusi Tourism Perak amat mengalu-alukan penganjuran acara tersebut.
Jelasnya, ia secara tidak langsung membantu melonjakkan ekonomi penduduk setempat dengan kehadiran peserta dari dalam dan luar negara termasuk pengunjung yang akan hadir.
"Saya harap masyarakat setempat khususnya peniaga bersedia untuk menyambut kehadiran peserta dan pengunjung yang akan datang nanti.
"Kita juga akan mempergiatkan lagi promosi bagi menarik lebih ramai pengunjung untuk hadir ke acara ini," katanya.
Rimba Raid Lenggong 2024 akan berlangsung dengan sesi kelayakan sebelum perlumbaan sebenar melibatkan laluan lasak di dalam hutan dengan jarak melebihi 300 kilometer.
Peserta akan melalui beberapa halangan sepanjang laluan di hutan berkenaan termasuklah bukit-bukau, sungai, cerun dan sebagainya.
Terdapat tiga kategori yang akan menjadi rebutan peserta iaitu Masterclass A, Class B dan Class C.