SEPANG - Tindakan tukang tilik merogol seorang wanita sejak setahun lalu mengundang padah apabila dia diberkas pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, laporan sebelum itu dibuat mangsa kira-kira jam 1.54 pagi mendakwa dirinya dirogol suspek dekat Puchong.
"Siasatan awal mendapati mangsa mengenali suspek menerusi media sosial selain mempercayai suspek boleh menilik nasib.
"Mangsa kemudiannya membuat laporan polis mendakwa dirinya telah dirogol oleh suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, siasatan dijalankan kemudian membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kejadian terbabit.
"Suspek berumur 34 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.15 malam di kawasan Puchong pada hari yang sama.
"Suspek kini direman lima hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita menempuh nasib malang apabila menjadi mangsa rogol lelaki bergelar Datuk yang juga tukang tilik, sejak setahun lalu.