KAJANG - Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan beliau telah membuat laporan polis palsu mendakwa pengendali laman blog, Papagomo telah mencengkam leher dan bahu beliau menggunakan lengan pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Februari tahun lalu.
Syed Saddiq, 28, turut memberitahu Mahkamah Majistret hari ini beliau tidak menonton rakaman video berhubung insiden itu sebelum laporan polis tersebut dibuatnya pada 16 Februari 2019.
"Saya hanya menonton video tersebut beberapa hari selepas insiden itu berlaku dan apabila ia dimuat naik di media sosial,” katanya ketika dirujuk rakaman video semasa disoal balas peguam Logen Narayanan yang mewakili Papagomo, 37, atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris selaku Orang Kena Saman (OKS) pada hari kelima perbicaraannya atas dua pertuduhan mengaibkan dan mendatangkan kecederaan terhadap menteri itu.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Muar itu bersetuju dengan cadangan Logen bahawa beliau tidak menyebut tarikh kejadian atau alamat tempat kejadian di dalam laporan polis itu.
Ketika diminta peguam itu untuk menunjukkan perlakuan mencengkam oleh anak guamnya dalam video yang dimainkan di mahkamah, Syed Saddiq berkata, ia terjadi pada minit 00.23 dalam rakaman tersebut.
Terdahulu, Logen turut mempersoalkan keterangan Ketua Armada itu di mahkamah sebelum ini yang menyatakan beliau diserang oleh Papagomo dari belakang sedangkan di dalam rakaman video dapat dilihat Syed Saddiq sedang menghadap ke depan.
Logen: Dalam keterangan YB, YB katakan Papagomo lari daripada belakang tetapi dalam rakaman ini, YB sedang menghadap ke depan. Bagaimana YB tahu itu adalah Papagomo yang berlari dari belakang?
Syed Saddiq: Ketika saya dibawa ke bawah menuju ke arah kenderaan saya, sudah ada pihak-pihak yang cuba melindungi dan mengelilingi saya. Papagomo letak tangan di bahu kiri tetapi yang pasti dia bukan datang dari depan.
Logen: Setuju dengan saya kemungkinan YB tidak tahu Papagomo datang dari kiri, kanan atau hadapan kerana YB sedang menghadap ke depan?
Syed Saddiq: Setuju.
Disoal lanjut mengenai rakaman video tersebut, Syed Saddiq tidak bersetuju dengan cadangan Logen bahawa tangan Papagomo ketika kejadian tidak mencengkam lehernya pada masa itu.
Syed Saddiq juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam terdapat percanggahan fakta di dalam laporan polis yang dibuat serta keterangan yang diberikan di dalam mahkamah pada 6 November tahun lalu.
Papagamo yang juga Exco Pemuda UMNO didakwa mengaibkan kehormatan Syed Saddiq dengan menyebut"ko bodoh” bagi maksud mengganggu kesantunannya di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian pada 11.05 pagi, 16 Feb tahun lepas mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, OKS didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan di leher dan bahu Ketua Armada itu pada masa, tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kejadian itu didakwa berlaku pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 16 Februari 2019.
Perbicaraan di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli bersambung 4 Mac depan. - Bernama