RAWANG - Hujan lebat menyebabkan sekurang-kurangnya 20 premis di Jalan Maxwell, pekan Rawang di sini terkesan banjir kilat pada petang Sabtu.
Keadaan di lokasi dikongsikan di media sosial memaparkan beberapa pekerja kedai sedang melakukan kerja pembersihan di premis terjejas.
Difahamkan hujan mulai turun kira-kira jam 5.10 petang sebelum banjir kilat melanda kira-kira 30 minit kemudian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat memaklumkan, taburan hujan melebihi 70 milimeter (mm) dalam tempoh sejam antara faktor beberapa kawasan ditenggelami air.
Menurutnya, kawasan itu juga kerap mengalami banjir kilat disebabkan sistem saliran sedia ada tidak dapat menampung aliran yang datang dari kawasan lain.
"Saya telah berbincang dengan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk kaji semula sistem saliran di kawasan berkenaan bagi menyelesaikan permasalahan tersebut.
"Bagaimanapun, banjir kilat yang terbaru ini turut disebabkan hujan terlalu lebat namun air kembali surut dengan cepat," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Katanya, selain Pekan Rawang beberapa lokasi lain turut alami banjir kilat antaranya Jalan Batu Arang, Kuala Garing, Kampung Rajah dan Sungai Terentang namun kejadian tidak melibatkan kerosakan harta benda.