Sukma platform lahir atlet elit negara ke Olimpik - Hannah

Iklan
Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyempurnakan perasmian temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Stadium Sarawak malam ini. Turut hadir, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh. Foto Bernama

SUKAN Malaysia (Sukma) merupakan platform penting untuk menyediakan atlet elit negara beraksi di Sukan Olimpik, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Beliau berkata, seorang atlet Olimpik tidak muncul begitu sahaja dan prestasi mereka adalah hasil usaha selama bertahun lamanya.

Iklan
Iklan

"Bakat yang kita asah di peringkat daerah, di peringkat negeri seperti Sukma inilah bakat yang menjadi harapan negara di temasya sukan antarabangsa.

"Atlet kita di sini, adalah bakal atlet kita di Olimpik kelak. Mungkin dalam kalangan kita, ada atlet Olimpik Brisbane 2032. Itulah pentingnya platform seperti Sukma yang perlu diberi penekanan yang lebih tinggi,” katanya.

Iklan
Formasi dron membentuk perkataan Sukma XXI di ruang udara Stadium Sarawak semasa upacara perasmian temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 malam ini. Foto Bernama

Hannah berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sukma 2024 yang berlangsung di Stadium Sarawak di sini malam ini.

Beliau turut menekankan mengenai kepentingan semangat kesukanan sama ada semasa atau selepas bertanding.

Iklan

"Saya menggunakan contoh wira dan wirawati negara yang mengharumkan nama Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024.

"Walaupun diduga dengan penyingkiran pada penampilan yang dirancang sebagai Olimpik terakhirnya, Datuk Azizulhasni Awang tetap memberitahu penyokongnya bahawa beliau masih belum berputus asa,” katanya.

Sementara itu, Hannah berkata, tuan rumah Sarawak adalah tempat terbaik untuk merealisasikan semangat perpaduan.

"Apabila saya melihat keliling stadium ini, saya merasakan bahawa ini adalah Malaysia. Atlet muda dari seluruh pelosok negara di satu tempat.

"Sebagai atlet muda negara yang mempunyai penyokong dan peminat yang ramai, anda semua mempunyai peranan untuk memastikan ekosistem sukan yang mengutamakan perpaduan, menggalakkan persaingan sihat dan tidak toksik,” katanya.

Kontijen negeri Terengganu memasuki stadium semasa upacara perasmian temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 di Stadium Sarawak malam ini. Foto Bernama

Sukma 2024 menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Sukma yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

Sempena Sukma 2024 di Sarawak yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos ini, Bernama memperkenalkan laman web khas sukma.bernama.com yang menyajikan berita berkaitan perkembangan semasa kontinjen negeri dan pencapaian mahupun cerita menarik atlet terlibat dalam temasya sukan dwitahunan itu. - Bernama