SHAH ALAM - Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri telah membawa konteks baharu dalam Kerajaan Perpaduan.
Profesor Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, keputusan tersebut menunjukkan bahawa Pas tidak boleh terlalu selesa dengan gelombang yang dicanangkan sebelum ini.
"Ini adalah lanjutan kepada kemenangan di Kuala Kubu Baharu oleh DAP dan menunjukkan UMNO telah membawa satu anjakan dalam konteks Kerajaan Perpaduan itu sendiri.
"Pas dan Perikatan Nasional (PN) sudah tentu tidak boleh terlalu selesa dengan gelombang yang dicanangkan sebelum ini seolah-olah ini akan menjadi sesuatu yang tetap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Interviu yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian bertajuk ‘Nenggiri: Antara dacing dan bulan’ yang dihoskan oleh Haizir Othman pada Sabtu.
Turut hadir Pensyarah Kanan Sains Politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Ayuni Mohd Isa.
Mengulas lanjut, menurut Sivamurugan, misi ‘do or die’ yang dibuat oleh BN berupaya menarik semula sokongan pengundi tegar yang tidak menyokong mereka sebelum ini.
Tambah beliau, walaupun sebelum ini BN tewas namun dengan kekuatan jentera sedia ada menyebabkan mereka kembali mendapat sokongan daripada penduduk tempatan.
"Kemenangan ini menunjukkan aliran sokongan berbalik kepada BN dan ini juga signifikan kepada UMNO berdasarkan pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai tokoh yang penting di Gua Musang.
"Mereka menggunakan strategi berbeza daripada PRK yang lain di mana tumpuannya adalah kepada kekuatan UMNO dan BN bukannya kepada gabungan lain di bawah Kerajaan Perpaduan,” katanya.