BN kempen bangkitkan isu setempat, faktor berjaya raih undi - Nur Ayuni

Iklan
Dari kiri: Haizir, Nur Ayuni dan Sivamurugan dalam program Interviu yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian bertajuk ‘Nenggiri: Antara dacing dan bulan’ pada Sabtu.

SHAH ALAM - Strategi jentera Barisan Nasional (BN) yang memenuhi kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dengan membangkitkan pelbagai isu setempat dan tidak menggunakan sentimen kaum atau agama antara faktor parti itu berjaya meraih undi.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Ayuni Mohd Isa berkata, idea sentimen agama dan bangsa sukar ‘dibeli’ kerana pengundi lebih bijak dalam menilai sesuatu perkara yang dibangkitkan lebih-lebih lagi apabila menyentuh isu agama, raja serta kaum (3R).

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun penduduk di kawasan tersebut majoritinya ialah kaum Melayu, namun terdapat sesetengah pengundi tidak selesa dengan permainan sentimen perkauman sebagai alat untuk meraih undi.

"BN berkempen dengan membangkitkan perkara berkaitan keperluan hidup, ekonomi, bantuan, isu tanah, isu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan tidak memberi fokus kepada ceramah yang berbaur kebencian.

Iklan

"Ada yang boleh beli dengan idea-idea sebegini tetapi ada sesetengah pengundi tidak selesa dengan perkataan berbaur kebencian dan ia tidak sesuai walaupun penduduk di situ majoritinya berbangsa Melayu sebab kita adalah negara perpaduan dengan pelbagai etnik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Interviu yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian bertajuk ‘Nenggiri: Antara dacing dan bulan’ yang dihoskan oleh Haizir Othman pada Sabtu.

Iklan

Turut hadir, Profesor Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian.

Mengulas lanjut, Pas perlu mengatur strategi baharu bagi meraih undi untuk pilihan raya akan datang kerana pengundi pada hari ini lebih bijak menilai kebijaksanaan pemimpin.

Tambah beliau, hubungan baik antara pemimpin dan komuniti seperti orang asli juga antara faktor yang membawa kemenangan kepada BN.

"Cara berkempen perlu diperbaharui tak kira di mana pun pilihan raya seterusnya. Kita tidak mahu berkempen dengan hanya mainkan isu satu etnik atau agama sahaja," katanya.