SHAH ALAM - Dek kerana mahu menampung perbelanjaan keluarga dan membiayai kos rawatan anak istimewa, sepasang suami isteri sanggup menjual kek cawan di kaki lima sejak hampir 10 tahun lalu.
Pengawal peribadi, Muhammad Zakri Saimon berkata, dia dan isterinya, Zahrah Mohd Jamian sudah terbiasa menjual kek cawan buatan sendiri berikutan anak sulungnya, Nur Zetty Shazlily, 17, disahkan menghidap penyakit jarang jumpa iaitu Sindrom Dravet sejak usia tiga tahun.
Menurut bapa kepada enam cahaya mata itu, meskipun mendapat bantuan bulanan daripada Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun komitmen bulanan masih tinggi kerana pada masa sama perlu menanggung biaya persekolahan anak-anak yang lain.
"Saya dan isteri buat kek cawan bermula RM10 sejak 2015 lagi untuk dijual di kaki lima depan bank di Petaling Jaya. Kadang-kadang jualan tak menentu.
"Kami jual kek memang untuk tampung kos rawatan fisioterapi urutan tulang belakang anak sulung yang sudah bengkok 70 peratus dan masih terbaring sehingga kini,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sebelum ini, kisah keluarga tersebut pernah tular beberapa kali di platform media cetak dan digital kerana ramai bersimpati dengan nasib Nur Zetty yang terlantar sakit bertahun-tahun lamanya.
Terbaharu, lapan beranak itu terpaksa hidup berpanas dan bergelap hampir seminggu selepas bekalan elektrik rumah dipotong kerana mempunyai tunggakan bil sebanyak RM2,853.30.
Bagaimanapun, bil elektrik sudah dilangsaikan dengan bantuan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan isterinya sudah boleh membuat kek seperti biasa.
Ditanya lebih lanjut mengenai keadaan anak sulungnya, Muhammad Zakri memaklumkan, doktor pernah mencadangkan agar Nur Zetty melakukan pembedahan meluruskan tulang belakang, namun risikonya agak tinggi.
Tambahnya, dia juga tidak dapat menghantar Nur Zetty ke pusat rawatan swasta untuk menjalani fisioterapi disebabkan kekangan kewangan.
"Doktor ada cadang supaya buat pembedahan tapi kami takut dan risau kerana risiko atau peluang selamat hanya 50-50.
"Kalau buat pembedahan sekalipun belum tentu ada jaminan kerana anak saya tak boleh duduk atau berjalan malah badannya pun lembik.
"Buat masa ini, kami kumpul duit untuk teruskan rawatan fisioterapi Nur Zetty. Dia juga perlu bergantung kepada dua jenis ubat iaitu Clobazam serta Kepra,” ujarnya.
Bagi yang ingin menyalurkan sumbangan, boleh terus berhubung ke 514084587577 (Maybank) atas nama Muhammad Zakri Saimon atau menghubunginya di talian 011-19526330.