Wabak mpox semakin menular

Iklan
Sampel mpox yang diambil dari pesakit untuk tujuan kajian bagi mencipta vaksin. Foto Agensi

PARIS - Wabak mpox atau cacar monyet yang semakin meningkat di Afrika telah diisytiharkan darurat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Pusat Pencegahan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) yang menyatakan ia berkemungkinan merebak dengan pantas ke negara-negara di Eropah.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (CDC) mengisytiharkan Kecemasan Kesihatan Awam bagi Keselamatan Benua (PHECS) yang pertamanya untuk penyakit yang boleh membawa maut itu.Malangnya, ia adalah kali pertama WHO mengeluarkan amaran kesihatan awam sejak wabak itu mula merebak ke seluruh dunia pada tahun 2022.

Iklan
Iklan

Kini, virus itu dilaporkan merentas dari pusatnya di Republik Demokratik Congo (DRC) ke negara Afrika lain dan terbaharu ia dikesan pada minggu ini buat pertama kali di Sweden dan Pakistan.

Apakah mpox?

Iklan

Penyakit ini dahulunya dikenali sebagai cacar monyet dan ia kali pertama dikesan pada manusia di DRC pada tahun 1970.

Terdapat dua subjenis virus dikenali sebagai Clad 1 dan Clad 2.Clad 1 paling berbahaya dan menjadi endemik di Lembangan Congo di tengah Afrika selama beberapa dekad, manakala Clad 2 kurang berbahaya dan menjadi endemik di beberapa bahagian di Barat Afrika.

Iklan

Mpox boleh disebarkan kepada manusia ke manusia lain menerusi hubungan seksual atau fizikal.

Gejalanya termasuk demam, sakit otot dan kulit gelembung seperti bisul.

Virus itu mendapat perhatian antarabangsa pada Mei 2022 bila mana strain kurang berbahaya dikenali sebagai Clad 2b merebak di seluruh dunia terumatanya lelaki gay dan biseksual.

Menurut WHO, antara Januari 2022 dan Jun 2024, kira-kira 208 kes kematian direkodkan dan lebih 99,000 kes dikesan di 116 negara.

Virus mpox semakin menular di luar negara Afrika. Foto Agensi

Kes mpox terbaharu

Lonjakan kes terkini membabitkan Clad 1 yang paling merbahaya dan varian mutasi baharu.Strain yang dikenali sebagai Clad 1b telah pertama kali dikesan dalam golongan pekerja seks di DRC pada September 2023.

Pada minggu ini, Sweden melaporkan kes pertama varian dari luar Afrika dan badan kesihatan EU menggesa negara-negara lain bersiap sedia. Pakistan melaporkan kes pertama mereka.

"Tidak menghairankan...Perjalanan antara benua telah membawanya ke Eropah," kata Profesor Madya Imunologi, Universiti Cambridge, Brian Ferguson.

Beliau menambah bahawa kes mungkin meningkat di Eropah dan di tempat lain kerana pada masa ini tiada mekanisme untuk menghentikan kes import mpox.

Gejala mpox mudah dikesan apabila pesakit mengalami cacar atau gelembung air seperti bisul pada anggota badan pesakit. Foto Agensi

Siapa terjejas?

Clad 1 terkenal kerana menyebabkan penyakit menjadi lebih teruk di kalangan kanak-kanak, wanita hamil dan orang yang mengalami gangguan imun, menurut Jonas Albarnaz, yang pakar dalam virus cacar di Institut Pirbright di Britain.

Katanya, Clad 1b menular oleh aktiviti seksual dan kebanyakan menjangkiti golongan dewasa.

Ia juga telah direkodkan merebak melalui hubungan bukan seksual dengan orang ramai, termasuk kanak-kanak bermain bersama di sekolah.

Menurut WHO, Clad 1b menyebabkan kematian sekitar 3.6 peratus yang termasuk bayi dan kanak-kanak.

Vaksin

Semasa penyebaran global mpox pada tahun 2022, vaksin telah digunakan di Eropah dan Amerika Utara bagi membantu mengawal wabak tersebut.

Bagaimanapun, vaksin belum tersedia secara meluas di negara-negara Afrika yang paling terjejas oleh mpox.

Jabatan Kesihatan AS berkata pada hari Rabu ia akan menderma 50,000 dos vaksin mpox kepada DRC.

Ketua CDC Afrika Jean Kaseya mengumumkan perjanjian dengan EU dan pembuat ubat Denmark, Bavarian Nordic untuk mengedarkan 200,000 dos di seluruh benua itu. - AFP