Cubaan sembunyi di sebalik papan tanda premis gagal

Iklan
Seorang warga asing yang cuba bersembunyi di tingkat atas sebuah premis. Foto JIM Johor

JOHOR BAHRU - Cubaan seorang warga asing bersembunyi di sebalik papan tanda premis gagal apabila dicekup anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor dalam Ops Sapu, pada Jumaat.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Rusdi Mohd Darus berkata, operasi yang bermula sekitar jam 12.30 tengah malam itu melibatkan serbuan ke atas sembilan premis rumah kedai di sekitar bandar raya ini yang dijadikan rumah kongsi oleh warga asing.

Iklan
Iklan

Katanya, dalam Ops Sapu kali ini, seramai 35 warga asing berusia 17 hingga 60 tahun ditahan.

"Secara keseluruhannya, warga asing yang ditahan dalam operasi kali ini melibatkan 15 lelaki dan 14 perempuan warga Indonesia, tiga lelaki dan seorang perempuan warga India, seorang lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga Pakistan.

Iklan
Pegawai JIM Johor memeriksa dokumen warga asing dalam serbuan berkenaan. Foto JIM negeri Johor

"Tindakan penguatkuasaan ini diambil ekoran maklumat dan aduan awam yang menyatakan terdapat sejumlah warga asing yang tidak memiliki pas atau permit yang sah untuk tinggal di negara ini.

"Selain itu, warga asing berkenaan juga didapati telah tinggal lebih masa di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, kesemua warga asing terbabit ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di negara ini dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa.