'Cukup main politik, sekarang masa untuk bekerja' - Awie

Iklan
Calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (tengah) meraikan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN ) N.43 Nenggiri bersama penyokong-penyokong di Balai Rakyat Bukit Chekati malam tadi. Foto Bernama

GUA MUSANG - Calon yang menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri terus memulakan khidmatnya dengan turun padang bertemu pengundi-pengundi, di sini, pada Ahad.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie berkata, sudah tiba masa untuk berkhidmat selepas mendapat kepercayaan pengundi dengan kemenangan majoriti besar 3,352 undi pada PRK itu.

Iklan
Iklan

"Selepas PRK semalam, sudah cukup kita bermain politik, sekarang masa untuk bekerja, membantu rakyat kerana rakyat perlukan kita, cukuplah tempoh 14 hari berkempen, masing-masing berperang mulut.

"Bermula hari ini, tak kiralah pihak kerajaan negeri atau Pusat perlu terus bekerja dan saya memikul tanggungjawab ini serta akan memberikan komitmen yang terbaik untuk rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita semasa bertemu dan beramah mesra penduduk di sebuah warung di Sungai Asap A, di sini, pada Ahad.

Iklan
Mohd Azmawi (tiga dari kanan) yang makan bersama penduduk di Sungai Asap A, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, turun padang itu juga sebagai tanda terima kasih kepada pengundi-pengundi dan mengakui tidak menjangkakan kemenangan terbabit.

"Syukur ke hadrat ALLAH SWT, saya betul-betul terkejut dengan keputusan yang di luar jangka ini.

Iklan

"Kami turun ke gelanggang dengan kekalahan undi 810 pada pilihan raya negeri lalu, tetapi kemenangan semalam cukup mengujakan dan saya sangat berterima kasih kepada semua pengundi terutamanya golongan muda atas sokongan yang diberikan kepada saya,” katanya.

Mengulas faktor kemenangannya, Mohd Azmawi berkata, antaranya corak kempen oleh barisan jentera Barisan Nasional (BN) yang lebih berkesan, undian pengundi muda dan sokongan daripada pengundi luar.

Mohd Azmawi dari BN itu berjaya merampas semula kerusi DUN Nenggiri selepas memperoleh 9,091 undi sekali gus menewaskan pencabarnya calon Pas Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) yang meraih 5,739 undi.