JAS temui satu tan sisa buangan disyaki sarung tangan getah

Iklan
Bahan buangan disyaki sarung tangan getah dilonggokkan pada satu kawasan di Kulim. Foto JAS

KULIM - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah menemukan kira-kira satu tan metrik bahan buangan terjadual disyaki sarung tangan getah, pada Sabtu.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, bahan buangan itu ditemukan di sebuah tapak pembinaan kilang di sini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati buangan yang ditinggalkan berkemungkinan adalah sarung tangan getah terpakai bersama bahan-bahan lain.

"Penyiasatan dan persampelan bahan buangan mula dijalankan pada jam 9 pagi dengan mengambil sampel berlainan jenis komposisi untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia Pulau Pinang bagi tujuan analisis.

Iklan

"Tindakan lanjut akan diambil setelah keputusan analisis kimia diterima," katanya.

Siasatan mendapati kira-kira satu tan metrik sisa buangan disyaki sarung tangan getah ditinggalkan di sebuah tapak pembinaan kilang di Kulim. Foto JAS

Jelas beliau, sekiranya buangan adalah sisa pepejal dan bukan buangan terjadual, kes akan diserahkan kepada SWCORP dan pihak Kulim Hi Tech Park untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Iklan

Bagaimanapun katanya, sekiranya ia tercemar disebabkan buangan terjadual, tindakan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (Pindaan 2024) boleh diambil.

"JAS Kedah juga berharap semua pihak yang mempunyai maklumat tentang kejadian pencemaran termasuk pelupusan haram dapat tampil mengemukakan maklumat.

"Kita mengingatkan semua pihak terutama pemilik premis industri supaya bersikap lebih bertanggungjawab dalam pengurusan buangan premis masing-masing," katanya.

Kakitangan JAS membuat pemeriksaan ke atas aduan penemuan bahan buangan disyaki sarung tangan getah. Foto JAS

Beliau menegaskan, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati menyebabkan pencemaran.

"Seseorang yang disabitkan dengan kesalahan pelupusan buangan terjadual di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2024) boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan boleh juga dikenakan denda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak melebihi RM10 juta.

"Orang awam boleh melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my," katanya.