SHAH ALAM - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yakin mampu mencapai sehingga empat juta transaksi tanpa tunai dilakukan di semua peruncit atau outlet pemasarannya di seluruh negara sehingga hujung tahun ini.
Pengarah Kanan Pembangunan Institusi Pemasarannya, Isa Hamzah berkata, keyakinan itu berasas selepas pelaksanaan program 'Go Cashless' dilakukan bersama Paynet Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) tersebut mencapai 2.6 juta setakat Jun lalu.
Menurutnya, jumlah itu melepasi sasaran awal iaitu sebanyak sejuta transaksi di kesemua outlet FAMA terpilih yang menyertai program bagi memacu agenda mentransformasikan usahawan ke arah digital sesuai dengan ledakan perkembangan teknologi masa kini.
"Buat masa ini program Go Cashless membabitkan 15 Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) dan Agrobazaar Rakyat (ABR), empat Pasar Tani Kekal (PTK) dan lima pasar tani terpilih di seluruh negara.
"Berdasarkan rekod, Putrajaya merekodkan transaksi tanpa tunai paling tinggi pada Julai lalu iaitu leboh 61,000. Kita yakin jumlahnya akan terus meningkat melihat kepada perkembangan sangat positif ini.
"Buat masa ini, pelaksanaan program lebih kepada memberi galakan kepada usahawan di bawah seliaan FAMA untuk beralih menggunakan kemudahan jualan tanpa tunai di premis-premis mereka selaras dengan perkembangan teknologi semasa," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Go Cashless Pasar di Pasar Tani Stadium Shah Alam di sini pada Ahad.
Turut hadir, Pengarah FAMA Selangor, Aaida Abdul Rashid.
Program Go Cashless mula diperkenal pada Oktober tahun lalu yang mana pelaksanaannya dibuat melalui dua fasa dan dijadual berakhir Disember tahun ini.
Sementara itu, ditanya mengenai peratusan penggunaan transaksi tanpa tunai di PTK dan pasar tani di bawah seliaannya, Isa berkata, ia mencapai 50 peratus.
Jelasnya, jumlah itu dijangka akan meningkat dengan mengambil kira kebanyakan rakyat ketika ini semakin memilih untuk berbelanja melalui transaksi tanpa tunai.
"Secara keseluruhan ketika ini kita mempunyai kira-kira 10,000 peniaga di seluruh negara dan diharap mereka memanfaatkan kemudahan yang diperkenalkan ini bagi mengembangkan lagi perniagaan masing-masing," katanya.