KUALA SELANGOR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan situasi Covid-19 berada pada tahap terkawal dan tiada peningkatan ketara kes direkodkan selepas dua tahun negara memasuki transisi endemik setakat ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu berdasarkan data terbaharu yang diperoleh Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh negara.
Menurut beliau, jumlah kes jangkitan dan kemasukan pesakit ke hospital atau fasiliti kesihatan juga terkawal.
"KKM mendapati tiada berlaku ledakan kes berkaitan Covid-19 termasuk pesakit yang dimasukkan ke wad atau unit rawatan rapi (ICU)," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kampung Angkat Madani KKM di Kampung Bukit Badong di sini pada Ahad.
Bagaimanapun, katanya, KKM akan terus memantau institusi kesihatan awam termasuk membuat hebahan umum jika berlaku peningkatan kes.
Dr Dzulkefly memberitahu, rakyat di negara ini kini perlu meneruskan fasa hidup dengan Covid-19 yang sama dengan virus sedia ada lain.
"Pada hakikatnya tiada lagi pemberian vaksin dan arahan untuk dikuarantin seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
"Namun, mereka yang bergejala perlu memakai pelitup muka dan membuat pemeriksaan di fasiliti perubatan sekali gus melindungi orang lain daripada dijangkiti," ujar beliau.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya turut menasihatkan golongan rentan terutama warga emas dan komorbiditi berwaspada terutama ketika berada di kawasan padat dan berisiko tinggi.
Pada Jun lalu, KKM menetapkan keputusan ujian Covid-19 kini tidak perlu lagi dimuat naik ke aplikasi MySejahtera namun hanya akan dilaporkan pengamal perubatan melalui sistem eNotifikasi.
Selain itu, ujian pengesahan kes hanya akan dilakukan melalui kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) profesional oleh petugas kesihatan dan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR).
Perincian semakan semula prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 juga meliputi tiga perkara iaitu perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO), pemakaian pelitup muka dan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan.