REMBAU - Jika dua hari lalu seekor anjingnya ditemui mati dengan keadaan kepalanya hancur, kini seekor lagi anjingnya menerima nasib sama pada Ahad.
Kejadian itu menyebabkan pemiliknya, Khairuddin Abd Rahman, 55, mengesyaki kedua-dua anjing yang menjaga kebunnya di Kampung Chengkau Ulu di sini dibaham harimau kumbang.
Menurutnya, kali pertama berlaku dia beranggapan anjingnya mati kemungkinan bergaduh sesama mereka.
"Masa itu saya tidaklah fikir ia angkara harimau, tapi bila kali kedua jadi dengan keadaan kepala anjing saya yang sebahagian badannya hancur, saya fikir ia mungkin kerja haiwan itu.
"Lagi pun hanya seekor saja anjing saya yang tinggal jaga kebun ini. Sebelum ini ada tiga ekor, tapi seekor hilang dua minggu lalu dan kemudian seekor ditemui mati dua hari lepas dan hari ini seekor lagi" katanya ditemui di kebunnya di sini pada Ahad.
Apa yang membuatkannya musykil, kata Khairuddin, kebunnya yang seluas satu ekar(0.4 hektar) itu dikelilingi dengan pagar setinggi 2.4 meter.
Ujarnya, disebabkan itu agar sukar mana-mana haiwan untuk menceroboh masuk ke situ melainkan melalui saluran longkang.
"Kejadian seumpama ini kali pertama berlaku dan saya jadi takut pula untuk ke kebun selepas ini.
"Saya sedar anjing saya mati buat kali kedua ini kira-kira jam 8.30 pagi ketika sampai ke kebun untuk baginya makan dan keadaannya lebih teruk berbanding anjing yang mati sebelum ini" katanya.
Sehubungan itu katanya, dia berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat mengambil tindakan melakukan pemantauan di lokasi berkenaan.
Sementara Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima aduan berkenaan kejadian itu dan akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar.