Kesilapan mudah punca KDA FC seri - Nafuzi

Iklan
NS FC berjaya mengimbangi permainan dan mengikat KDA FC 2-2 sehingga tamat aksi Liga Super di Stadium Darul Aman pada Sabtu. Foto KDA FC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC mempamerkan peningkatan permainan positif namun belum cukup untuk meraih tiga mata apabila diikat 2-2 oleh Negeri Sembilan (NS) FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman pada Sabtu.

Pengendalinya, Nafuzi Zain mengakui beberapa kesilapan kecil telah menghukum pasukannya sendiri seperti aksi bertemu Kuching City FC apabila mengikat KDA FC pada penghujung perlawanan, 26 Julai lalu.

Iklan
Iklan

"Walaupun dari segi perlawanan tetap ada perkara positif buat KDA FC terutamanya pada separuh masa kedua yang menunjukkan peningkatan yang ketara.

"Pada separuh masa pertama, kita leka sehingga ketinggalan gol pertama tapi bangkit 2-1 pada separuh masa kedua. Tetapi kesilapan kita menjadikan kedudukan 2-2, hanya beberapa kesilapan mudah sahaja seperti skrip berlaku semasa bertemu Kuching FC,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Iklan

Jelas Nafuzi, fokus yang hilang menuju penghujung perlawanan menyebabkan impian mereka untuk meraih tiga mata penting di laman sendiri gagal.

Menurutnya, jentera serangan Sang Kenari juga dilihat sedikit hilang fokus dalam memburu gol pada separuh masa pertama.

Iklan

"Milos Gordic ditugaskan di bahagian sebelah tepi tetap berpeluang untuk menjaringkan gol, namun mungkin keyakinan dia agak berkurangan sedikit dan kita membuat penukaran memasukkan Fayadh Zulkifli pada separuh masa kedua.

"Kemasukan Fayadh memberi impak namun cuma keputusan perlawanan yang tidak memihak kami untuk mendapat tiga mata," ujarnya lagi.

Pada perlawanan tersebut, KDA FC memperolehi gol menerusi Sony Norde pada minit ke-52 dan Jose Cleylton pada minit ke-61 manakala NS FC menerusi Jacque Faye pada minit ke-46 dan 78.