BUTTERWORTH - Ibu dan anak lelakinya melecur selepas rumah mereka di tingkat lapan Flat Bagan Sena, Kampung Jawa di sini terbakar, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima laporan kebakaran kira-kira jam 5.11 petang sebelum beberapa buah jentera bomba ke lokasi kejadian.
Menurutnya, wanita berusia 30-an itu dan anaknya yang berumur 2 tahun melecur ketika mereka cuba hendak keluar dari rumah itu bagi menyelamatkan diri.
"Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya dengan ambulans EMRS untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
"Rumah mangsa terbakar lebih 80 peratus dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,"katanya ketika dihubungi.