Skuad wushu sanda Kedah dibarisi atlet Melayu ukir kejayaan di Sukma 2024

Iklan
Skuad wushu sanda Kedah dibarisi 100 peratus anak Melayu. Foto Muhamad Shafiri

SKUAD wushu sanda Kedah mencipta sejarah apabila berjaya membawa pulang satu pingat emas dan satu gangsa pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di sini.

Kejayaan dicapai pasukan yang kesemuanya terdiri daripada atlet berbangsa Melayu itu suatu pencapaian yang jarang dilihat dalam sukan wushu yang sinonim dengan kaum Cina.

Iklan
Iklan

Lebih membanggakan atlet Kedah di bawah bimbingan Muhamad Shafiri Mahmud bermula dengan latar belakang sukan muay dan beralih ke wushu sanda hanya beberapa tahun kebelakangan ini.

Muhamad Shafiri menyifatkan kejayaan itu sebagai pencapaian yang luar biasa, selain membuktikan kebolehan dan kesungguhan atlet Melayu dalam disiplin itu yang menggabungkan teknik pertempuran melibatkan tinju, tendangan dan teknik gulat.

Iklan
Wan Nor Amni Madihah bergambar selepas memenangi emas dalam perlawanan akhir sanda kategori 56 kg pada temasya Sukma Sarawak 2024. Foto Bernama

"Syukur Kedah pecah tradisi, semua 100 peratus memang anak Melayu. Alhamdulillah, satu emas, satu gangsa daripada wushu sanda Kedah,” katanya kepada Bernama di sini.

Muhamad Shafiri menjelaskan transisi mereka daripada sukan muay ke wushu sanda memerlukan penyesuaian yang besar.

Iklan

"Memang sanda Kedah bukan sanda asli sebab kami daripada sukan muay. Muay dengan sanda nampak macam sama tapi tak sama. Muay lebih kepada tumbukan, sepakan, siku, lutut dan sebagainya, tapi sanda lebih kepada teknik jatuhan, teknik hempukan. Dalam muay tiada seperti itu,” katanya.

Beliau turut berkongsi cabaran terbesar mereka adalah ketika edisi Sukma lepas di Kuala Lumpur apabila atlet-atlet menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan peraturan dan teknik yang berbeza dalam sanda.

Dengan usaha gigih dan komitmen yang tinggi, katanya skuad berkenaan berjaya menyesuaikan diri dan menunjukkan prestasi cemerlang di Sukma 2024.

"Pandangan peribadi saya prestasi pasukan memang ada peningkatan yang mendadak, komen-komen jurulatih lain juga memang hormat Kedah sebab terlalu cepat naik (prestasi),” katanya yang menyifatkan kejayaan kali ini sebagai pemangkin semangat buat kontinjen untuk meraih pencapaian lebih hebat selepas ini.

Pada edisi kali ini, emas Kedah disumbangkan Wan Nor Amni Madihah Wan Mohd Faisal dalam acara 56 kilogram (kg) wanita manakala Muhammad Amzar Amsyar Aznan merangkul gangsa 70 kg lelaki sekali gus mengatasi pencapaian tiga gangsa kontinjen pada edisi lepas. - Bernama