Maritim Kelantan tahan enam nelayan asing

Iklan
Erwan Shah (tengah) berkata tiga daripada enam nelayan itu didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan permit bekerja yang sah.
KOTA BHARU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) bersama enam nelayan warga Thailand di muara Tok Bali, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, tangkapan dilakukan pasukan bot peronda agensi berkenaan pada kedudukan kira-kira 40 batu nautika.

Menurutnya, tiga daripada enam nelayan itu didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan permit bekerja yang sah.

"Vesel dikesan ketika menangkap ikan di posisi berkenaan kira-kira 4.30 petang sebelum ditahan dan diperiksa 10 minit kemudian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Erwan Shah berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat enam kru termasuk tekong kesemuanya disyaki warga negara Thailand berumur antara 33 hingga 55 tahun bekerja di bot itu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiga daripada kru bot berkenaan didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan permit bekerja yang sah ketika diminta.

"Selepas ditahan, bot itu kemudiannya diiringi ke jeti Maritim Negeri Kelantan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit bekerja yang sah. - Bernama