Lebur rekod Sukma, bidik dua emas acara 10M air pistol

Iklan
Cheah Zen Hong bergambar selepas berjaya mendapat pingat emas dalam acara 10 meter Air Pistol individu lelaki dan berpasukan pada temasya Sukma 2024 di Lapang Sasar Sarawak hari ini. - Foto: Bernama
PENEMBAK Pahang, Cheah Zen Hong menambah koleksi pingat emas dalam acara 10 meter Air Pistol individu lelaki dan berpasukan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Lapang Sasar Sarawak hari ini.

Atlet pelapis kebangsaan itu turut memecahkan rekod kejohanan ketika beraksi pada pusingan kelayakan pagi tadi dengan 576 mata mengatasi rekod atlet seniornya Abdul Hadi Abdul Malik 574 mata pada Sukma 2012.

Zen Hong mengesahkan bidikan emas dengan 230.5 mata menewaskan rakan sepasukan Riky Mohamad Yasin (230.2 mata) bagi pingat perak dan T Ninesh dari Kedah (210.3 mata) meraih gangsa pada final.

"Misi peribadi adalah mempertahankan pingat emas dalam acara hari ini, aksi pada 10 shot awal tadi tidak begitu baik tetapi saya perlahan-lahan dapatkan momentum dan berpuas hati dengan hasilnya.

"Setiap pingat berharga buat kami terutama emas, kami juga mempunyai sasaran untuk pasukan dan kontinjen negeri. Menembak merupakan penyumbang pingat terbesar untuk Pahang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Gandingan Cheah, Riky Mohamad dan Muhammad Zainal Azim Ahmad Mahmud meraih pingat emas dengan 1,687 mata dalam acara berpasukan mengatasi trio Wilayah Persekutuan dibarisi Safwan Arif Abdul Aziz, Muhammad Hakimi Zulkifli dan Abdul Haiqal Abdul Aziz ditempat kedua dengan 1,658 mata.

Sarawak meraih pingat gangsa (Justin Joannes Kelukin, Mohamad Syah Nurwandi Iqwan Abdullah, Abang Ikhmal Putra Zailan) dengan 1,657 mata.

Atlet berusia 18 tahun itu berharap menerusi prestasi cemerlang itu, beliau dapat diberi peluang beraksi dalam kejohanan lebih tinggi di peringkat antarabangsa.

"Saya harap selepas ini dapat beraksi di Sukan SEA Bangkok tahun depan dan menyertai kejohanan elit lain di peringkat antarabangsa," katanya yang merangkul dua pingat emas bagi acara 25m standard pistol individu lelaki dan berpasukan, semalam. - Bernama