Tuduhan IJN akan diswastakan tidak berasas - Dr Dzulkefly

Iklan
Dr Dzulkefly (gambar kecil) menafikan dakwaan bahawa IJN akan diswastakan.

SHAH ALAM - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menafikan dakwaan bahawa Institusi Jantung Negara (IJN) akan diswastakan.

Menurut Dr Dzulkefly, IJN merupakan badan korporat milik Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc.).

Iklan
Iklan

"Sebuah mesej palsu telah tersebar berkenaan status IJN. Untuk pemakluman, polisi sedia ada adalah kekal.

"IJN adalah sebuah badan korporat milik Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc.).

Iklan

"Tuduhan bahawa IJN akan diswastakan adalah tidak berasas sama sekali,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Dzulkefly menjelaskan kenyataan beliau sebelum ini bahawa IJN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai hubungan kerja yang baik walaupun selepas berlakunya pengkorporatan institusi jantung tersebut.

Iklan

Tambah beliau, perkongsian tersebut strategik bagi mengoptimumkan penggunaan sumber.

"Perihal perkongsian dan pemindahan pesakit juga dijelaskan dalam kenyataan media pada 27 Februari lalu,” katanya.

Dzulkefly memaklumkan, KKM akan merujuk kes-kes kompleks dan pesakit jantung kritikal ke IJN bertujuan untuk mengurangkan kesesakan serta masa menunggu yang begitu lama.

Katanya lagi, sebanyak 10 hospital mempunyai Perkhidmatan Kardiologi dan tujuh termasuk mempunyai Perkhidmatan Surgeri Kardiotorasik.

Dzulkefly berkata, setiap pesakit yang dirujuk itu akan ditanggung sepenuhnya oleh KKM menggunakan pembiayaan tahunan persekutuan yang diterima daripada MoF.

"Bagi memastikan lebih ramai pesakit boleh dirujuk ke lJN, mereka dibenarkan keluar apabila keadaan stabil untuk ke Pusat-Pusat Jantung KKM yang lain,” ujarnya.