PM Thailand Paetongtarn Shinawatra teruskan dasar kerajaan terdahulu

Iklan
Paetongtarn Shinawatra. - AFP
BANGKOK - Perdana Menteri Thailand yang baru dilantik, Paetongtarn Shinawatra berjanji untuk meneruskan dasar kerajaan terdahulu di bawah pimpinan Srettha Thavisin dengan memberi tumpuan kepada reformasi ekonomi dan penambahbaikan penjagaan kesihatan yang bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Paetongtarn, 37, berikrar untuk bekerjasama dengan semua sektor bagi memastikan semua inisiatif itu dapat direalisasikan.

"Sila nantikan butiran dasar yang lebih konkrit pada awal September," katanya dalam sidang media pertama beliau sebagai perdana menteri.

Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada Srettha, sambil menyatakan bahawa sepanjang tempoh perkhidmatannya selama 11 bulan beliau telah mencapai banyak inisiatif positif yang boleh diteruskan.

Paetongtarn, anak bongsu bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra menerima perkenan diraja secara bertulis daripada Raja Maha Vajiralongkorn dalam satu majlis di ibu pejabat Pheu Thai pada pagi Ahad, dua hari selepas dipilih oleh parlimen.

Paetongtarn berkata beliau bersedia sepenuhnya dan berazam untuk menggalas tanggungjawab baharu sebagai Perdana Menteri.

"Pada mulanya, saya tidak merancang untuk mengambil peranan ini, tetapi saya ingin memberi jaminan kepada semua bahawa saya sudah bersedia dan berazam sepenuhnya.

"Perdana menteri memikul tanggungjawab yang besar dan saya memberi tumpuan untuk menangani isu-isu mendesak yang dihadapi negara, terutama dalam meningkatkan taraf hidup rakyat Thailand.

"Saya berjanji untuk berkhidmat kepada semua orang secara sama rata dan sepenuh hati. Tidak kira umur, jantina, atau kepelbagaian, bersama-sama kita mengubah setiap cabaran sebagai peluang, menjadikan Thailand tempat di mana semua orang boleh bermimpi, mencipta, dan membentuk masa depan mereka," katanya.

Dalam baki tiga tahun penggal Parlimen ini, Paetongtarn menyatakan bahawa beliau akan bekerjasama dengan cabang perundangan dengan hati terbuka dan mendengar semua pendapat untuk bersama-sama memajukan negara.

"Tugas besar ini tidak dapat dicapai dengan bekerja sendiri. Saya komited untuk menyatukan kekuatan dan bakat semua pihak, termasuk Kabinet, parti gabungan, penjawat awam, dan seluruh rakyat Thailand," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sejauh mana beliau akan bergantung kepada bapanya, Thaksin untuk mendapatkan nasihat, Paetongtarn berkata beliau berharap dapat mendapatkan bimbingannya apabila diperlukan, tetapi tidak secara berterusan.

"Saya mempunyai matlamat sendiri, tetapi saya pasti akan mempertimbangkan pandangannya” katanya.

Paetongtarn merupakan perdana menteri termuda negara itu menggantikan Srettha Thavisin yang dilucutkan daripada jawatan oleh Mahkamah Perlembagaan pada Rabu (14 Ogos).

Tokoh politik baharu itu adalah perdana menteri wanita kedua Thailand dan individu ketiga daripada keluarga Shinawatra memegang jawatan tertinggi berkenaan selepas bapanya, Thaksin dan ibu saudaranya, Yingluck. - Bernama