SHAH ALAM - Penggantungan Mohd Effendy Abdul Ghani sebagai Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak sah ekoran melanggar syarat-syarat yang ditetapkan Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Jawatankuasa Kerja MTUC memaklumkan, perkara tersebut disahkan Jabatan Pertubuhan Pendaftaran (RoS) susulan tindakan penggantungan oleh Ahli Majlis Am kongres itu tidak selari dengan peruntukan undang-undang.
"Tindakan itu juga menunjukkan ketidakpatuhan terhadap keputusan mahkamah yang telah dikeluarkan.
"Justeru MTUC telah dimaklumkan oleh RoS untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan semua pihak mematuhi arahan mahkamah," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Kerja MTUC turut memaklumkan, status keanggotaan Kamarul Baharin Mansur sebagai Setiausaha Agung juga terbatal berdasarkan pemakluman Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) bertarikh 10 Mei 2024 yang telah dikeluarkan untuk mengesahkan perkara berkenaan.
Justeru menurutnya, tiada komunikasi rasmi menggunakan jawatan tersebut boleh dilakukan kerana terdapat kekosongan pada kedudukan itu ketika ini.
"Selaras dengan pemakluman perintah mahkamah, pengisian kekosongan jawatan yang kini dikosongkan atau telah dibatalkan keahliannya adalah tidak dibenarkan.
"Sebarang usaha untuk mengisi mana-mana jawatan pada waktu ini dianggap sebagai keputusan dasar yang melanggar perintah mahkamah.
"Sementara menunggu arahan atau nasihat lanjut daripada pihak berkuasa yang berkenaan, presiden bersama jawatankuasa yang diberi kuasa akan menjalankan tugas-tugas pentadbiran MTUC," jelasnya.
Sementara itu, MTUC menegaskan akan mengambil tindakan susulan bagi memastikan semua keputusan yang diambil adalah selaras dengan perlembagaan kongres dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Jelasnya, ia bertujuan untuk mengekalkan integriti organisasi serta memastikan hak serta kebajikan ahli terus diperjuangkan.
"MTUC akan berusaha secepat mungkin untuk mengadakan pemilihan baharu bagi membolehkan organisasi kembali ke landasan betul setelah kes di Mahkamah Rayuan diselesaikan nanti.
"MTUC berpegang teguh kepada prinsip ketelusan, akauntabiliti, keluhuran perlembagaan dan mematuhi setiap perintah mahkamah," ujarnya.