Lawatan PM ke India mulai esok akan terus perkukuh hubungan kedua-dua negara

Iklan
Muzafar Shah

NEW DELHI - Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India mulai esok hingga 21 Ogos ini bakal mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara yang terjalin sejak 1957.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Muzafar Shah Mustafa berkata, sempena lawatan itu, Malaysia dan India akan memeterai tujuh Memorandum Persefahaman meliputi kerjasama dalam bidang digital, pelancongan, kesihatan, tenaga kerja, pentadbiran awam dan perubatan tradisional Ayurveda.

Iklan
Iklan

"Lawatan ini juga dijangka membuka peluang kerjasama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan kenderaan elektrik kerana India mempunyai kelebihan.

"Selain itu, India berharap untuk memperkukuh kerjasama dalam industri semikonduktor dengan Malaysia,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, antara tumpuan lawatan itu ialah perbincangan Anwar dan Perdana Menteri India Narendra Modi mengenai penyertaan Malaysia dalam BRICS yang dilihat selari dengan usaha negara tersebut memperkukuh peranannya di arena antarabangsa.

Pertemuan Anwar dengan rakan sejawatnya itu juga dijangka membincangkan isu rantau Indo-Pasifik ketika Malaysia bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.

Iklan

Muzafar Shah berkata, selain Malaysia, India juga dilihat mengutamakan hubungannya dengan rantau ASEAN dan komited untuk mengeratkan lagi hubungan dengan anggota blok serantau itu selaras dengan Dasar Bertindak Timur negara berkenaan.

Beliau berkata, hasrat negara itu untuk membuka kampus luar pesisir Institut Teknologi India di Malaysia dijangka turut dibincang oleh kedua-dua pemimpin.

Anwar dijadual tiba di New Delhi pada jam 9.40 malam esok waktu tempatan (12.10 tengah malam waktu Malaysia) bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari ke negara itu.

Acara sambutan rasmi Anwar akan berlangsung di pekarangan kediaman rasmi Presiden India Rashtrapati Bhavan di sini diikuti upacara meletakkan kalungan bunga sebagai tanda penghormatan di Tugu Peringatan Gandhi di Kompleks Memorial Raj Ghat.

Perdana Menteri kemudian dijadual menerima kunjungan hormat daripada Menteri Hal Ehwal Luar India, S Jaishankar disusuli perjumpaan tertutup dengan Modi.

Anwar juga akan menyampaikan syarahan bertajuk ‘Towards a Rising Global South: Leveraging on Malaysia-India Ties’ pada sebelah petang 20 Ogos.

Delegasi Perdana Menteri ke India disertai oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Steven Sim, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Tiong King Sing serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut serta dalam lawatan itu Menteri Digital, Gobind Singh Deo, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Perdagangan dua hala India-Malaysia bernilai lebih AS$20 bilion pada 2023 hingga 2024 dan diunjurkan mencecah AS$30 bilion menjelang 2025. - Bernama