MALAYSIA baru-baru ini digemparkan dengan beberapa kes kehilangan individu yang menimbulkan kebimbangan orang ramai mengenai keselamatan diri masing-masing di negara ini.
Pada Julai lalu, misteri kehilangan seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak 10 Julai terungkai apabila mayatnya ditemui berhampiran Felda Gedangsa, Kuala Kubu Baharu, Selangor.
Dikhabarkan, wanita tersebut dipercayai dibawa ke beberapa lokasi termasuk sebuah kebun ubi yang diusahakan suspek di Tanjung Malim, Perak sebelum dibunuh pada 8 Julai.
Sementara itu, kes kehilangan seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3, Pasir Gudang, Johor, dikenali sebagai Istiqomah Ahmad Rozi, 33, turut mengejutkan negara.
Polis mengesahkan bahawa mayat tanpa kepala ditemukan pada 31 Disember tahun lalu adalah miliknya yang hilang sejak 26 Disember.
Kes lain yang mengejutkan adalah seorang penyanyi muda, Muhammad Nidza Afham, yang dilaporkan hilang selepas keluar berjogging di Stadium Sultan Sulaiman, Klang pada 13 Ogos.
Selepas sehari, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan bahawa mayat lelaki yang ditemui orang awam di sekitar jambatan Sungai Klang sekitar jam 7 malam adalah milik Nidza Afham.
Pada Ahad, seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan hilang ditemui mati di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Sungai Siput pada 17 Ogos.
Mayat Nuraina Humaira Rosli, 10, murid Tahun Empat SK Pos Kuala Mu itu ditemukan sekitar jam 4.20 petang hasil operasi mencari yang digerakkan selepas mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak Jumaat.
Kejadian-kejadian berkenaan menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan diri sendiri terutama mereka yang berseorangan di kota raya.
Justeru, apakah tindakan daripada kerajaan untuk membanteras kegiatan yang menakutkan generasi kini?
Adakah ia memerlukan peranan rakyat sendiri agar sentiasa berhati-hati untuk keluar seorang diri sedangkan pelaku tidak perlu risau seperti tiada apa yang berlaku.
Kerajaan diminta untuk membanteras kegiatan jenayah yang melibatkan nyawa di negara ini supaya rakyat akan bebas dan selamat di tanah air sendiri.