PENGUMUMAN mengenai kenaikan gaji penjawat awam pastinya disambut gembira oleh kakitangan kerajaan.
Sudah lama mereka tak merasa naik gaji, kini kesabaran mereka dibalas dengan jumlah yang boleh dikatakan agak lumayan.
Merak Jalanan tumpang gembira, ramai penjawat awam berasa lega terutama mereka yang bergantung sepenuhnya kepada gaji bulanan.
Namun, di sebalik kegembiraan ini, terdapat satu kebimbangan yang menghantui kita – akan adakah peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang?
Biasanya, setiap kali ada kenaikan gaji atau bonus, cerita tentang harga barang naik pun akan menyusul sama.
Secara logik, dengan pendapatan sudah bertambah, kuasa beli pun sepatutnya lebih besar.
Tetapi apa yang berlaku, ia masih tidak mencukupi sebab harga barang mula mahal. Gaji yang lebih itu ‘disedekahkan’ kepada peniaga tanpa sedar.
Peniaga sudah tentu memberi alasan tersendiri untuk menaikkan harga barang.
Kos pengeluaran meningkat, harga bahan mentah naik, kos pengangkutan makin mahal – semua ni antara alasan retorik yang biasa kita dengar.
Tapi, dalam konteks kenaikan gaji penjawat awam, takkan semua peniaga perlu naikkan harga barang serentak?
Kita pun sukar nak pastikan mereka menaikkan harga barang sebab kos meningkat atau sengaja ambil kesempatan.
Oleh itu, Merak Jalanan berharap, kementerian bertanggungjawab perlu lebih tegas memantau harga barang.
Gaji kakitangan di kementerian tersebut juga sudah naik, jadi tak ada masalah untuk kerja lebih, kerap ‘turun padang’ dan ambil tindakan terhadap peniaga melampau yang menaikkan harga barangan sesuka hati.
Bukan apa, Merak Jalanan simpati dengan kakitangan swasta atau mereka yang bekerja sendiri.
Disebabkan gaji penjawat awam naik, mereka pula yang terkena tempias menanggung kesan kenaikan harga barang.